Boeing raih perjanjian RM411 bilion dengan Qatar 

Boeing raih perjanjian RM411 bilion dengan Qatar 

KETUA Pegawai Eksekutif Boeing, Kelly Ortberg (kiri) bersama Donald Trump dan Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad al-Thani semasa upacara menandatangani perjanjian perniagaan di Istana Diraja di Doha.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Syarikat penerbangan gergasi Amerika Syarikat (AS), Boeing memeterai perjanjian terbesar dalam sejarah dengan Qatar untuk membekalkan  210 pesawat dengan nilai keseluruhan mencecah AS$96 bilion (RM411 bilion).

Perjanjian itu diumumkan ketika lawatan Presiden AS, Donald Trump ke ibu negara Qatar di Doha, di mana pelbagai perjanjian ekonomi bernilai lebih AS$243 bilion (RM1.04 trilion) turut dimeterai antara kedua-dua negara.

Antara perjanjian utama yang diumumkan ialah pembelian 130 pesawat Boeing 787 Dreamliner dan 30 pesawat 777-9, dengan pilihan tambahan untuk membeli 50 lagi unit Dreamliner dan 777X di masa hadapan. 

Selain itu, Qatar turut menandatangani pembelian enjin GE Aerospace bagi melengkapi pesawat-pesawat tersebut yang akan digunakan oleh syarikat penerbangan Qatar Airways.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Boeing Commercial Airplanes, Stephanie Pope menyatakan penghargaan atas kepercayaan Qatar Airways terhadap syarikat tersebut.

“Kami amat berbesar hati kerana Qatar Airways membuat pesanan terbesar ini dengan Boeing, yang akan mengukuhkan armada masa depan mereka dengan rangkaian pesawat berbadan lebar kami yang terkemuka di pasaran,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Susulan pengumuman perjanjian itu, saham Boeing ditutup lebih tinggi di Bursa Saham New York.

Para pelabur menyambut baik berita itu, namun mengambil pendekatan berhati-hati berikutan terdapat kes sebelum ini di mana syarikat penerbangan membatalkan pesanan walaupun sudah diumumkan secara terbuka.

Rumah Putih dalam kenyataan rasminya menyebut Trump sebagai ‘jaguh rundingan’, merujuk kepada kejayaannya memeterai pelbagai perjanjian besar serta imej beliau sebagai diplomat utama dalam memacu kepentingan ekonomi AS di peringkat global.

Perjanjian itu dimeterai ketika Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Jassim Al-Thani menolak kontroversi yang timbul berkaitan rancangan Trump menerima sebuah pesawat mewah daripada keluarga diraja negara itu untuk digunakan sebagai Air Force One.

Dalam wawancara bersama Becky Anderson di CNN, Sheikh Mohammed menjelaskan urusan itu hanyalah satu transaksi antara kerajaan dan bukan hadiah peribadi kepada Trump.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN