KENT: Sebuah badan kebajikan Islam di Gravesend, Kent, United Kingdom (UK) mengemukakan semula permohonan untuk menukar sebuah bekas pub kepada masjid, hanya enam bulan selepas permohonan awal mereka ditolak oleh pihak berkuasa tempatan.
Akademi Al-Haqq sebelum ini mengemukakan permohonan untuk menukar tingkat bawah bangunan The Peacock, yang telah ditutup sejak tahun 2020, kepada sebuah akademi yang merangkumi dewan solat, bank makanan serta kelab belia.
Walaupun cadangan tersebut mendapat sokongan padu daripada masyarakat setempat dengan 107 surat sokongan berbanding hanya 23 bantahan, namun Majlis Perbandaran Gravesend menolak permohonan tersebut atas beberapa faktor teknikal.
Bagaimanapun pada Isnin lalu, Akademi Al-Haqq telah menghantar semula permohonan baharu untuk menukar penggunaan tingkat bawah bangunan itu kepada sebuah masjid yang boleh memuatkan kira-kira 65 jemaah disamping turut merancang mengadakan kelas pengajian agama untuk kira-kira 30 kanak-kanak.
Permohonan terdahulu ditolak atas alasan waktu operasi tidak dinyatakan dengan jelas, sekali gus menyukarkan pihak majlis untuk menilai kesan terhadap penduduk sekitar disamping dibangkitkan isu kehilangan fungsi asal pub tersebut, yang tidak boleh diluluskan tanpa bukti kukuh ia tidak lagi berdaya maju sebagai premis perniagaan.
Namun, menurut permohonan baharu, akademi tersebut menjelaskan waktu solat yang akan dilaksanakan lima kali sehari termasuk solat Subuh sekitar pukul 4.30 pagi (musim panas) atau 7 pagi (musim sejuk), serta solat Isyak sekitar pukul 10.50 malam (musim panas) atau 7.30 malam (musim sejuk).
“Cadangan perubahan guna kepada masjid dan madrasah tidak membawa kesan yang lebih besar berbanding penggunaan asalnya sebagai pub,” jelas dokumen permohonan itu.
Akademi Al-Haqq juga turut menegaskan terdapat kekurangan kemudahan solat bagi umat Islam di kawasan itu dan berdasarkan bancian tahun 2021, seramai 3,326 penduduk Islam tinggal di daerah berkenaan, namun hanya terdapat dua buah masjid iaitu Masjid Central dan Masjid Shah Jalal yang kini beroperasi melebihi kapasiti.
“Cadangan ini adalah pembangunan lestari yang dapat memenuhi keperluan sosial dan budaya jangka panjang komuniti Muslim setempat, sekali gus mengurangkan keperluan untuk bersolat jauh dari kawasan kediaman,” jelas mereka.
Setakat ini, empat surat sokongan telah diterima manakala tiada bantahan dikemukakan dan keputusan rasmi dijangka diumumkan pada 23 Jun ini. -AGENSI