DOHA: Utusan Amerika Syarikat (AS) ke Asia Barat, Steve Wikoff yang berada di ibu negara Qatar semalam sudah beberapa kali menghubungi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bagi menggesanya bersikap lebih fleksibel dalam rundingan dengan Hamas, menurut laporan akhbar Haaretz.
Desakan ini muncul ketika Israel terus memperhebat serangan udara di Gaza, memasuki hari kedua berturut-turut pengeboman besar-besaran termasuk di sekitar Hospital Eropah Gaza di Khan Yunis, selatan Gaza yang menyebabkan sekurang-kurangnya 120 rakyat Palestin terbunuh, termasuk wanita dan kanak-kanak.
Walaupun rundingan masih berlangsung dan Presiden AS Donald Trump kini dalam lawatan diplomatik ke rantau tersebut, Netanyahu terus bertegas menolak kompromi diplomatik.
Menurut sumber kepada Haaretz, Israel masih berpegang kepada ‘kerangka Witkoff’ iaitu satu cadangan yang dikemukakan lebih dua bulan lalu yang mencadangkan gencatan senjata selama 45 hari serta rundingan sebagai pertukaran bagi pembebasan sepuluh tebusan oleh Hamas dan penyerahan mayat separuh daripada warga Israel yang terbunuh.
Delegasi Israel di Doha yang diketuai timbalan ketua agensi keselamatan Shin Bet dilaporkan telah mengadakan mesyuarat dengan Wikoff serta utusan khas AS bagi hal ehwal tebusan, Adam Boehler, menurut laporan Yedioth Ahronoth.
Wikoff juga dilaporkan sedang meneroka cadangan alternatif, termasuk pembebasan tebusan secara berperingkat bagi meyakinkan semua pihak menerima gencatan senjata, kata akhbar itu yang turut memetik sumber tanpa nama.
Namun begitu, pegawai Israel masih berkeras bahawa sebarang pengakhiran perang mesti merangkumi pemulangan semua tebusan, perlucutan senjata Hamas dan pengusiran kepimpinan kumpulan itu.
Saluran berita Channel 12 Israel turut melaporkan bahawa meskipun mendapat tekanan kuat dari Washington, mandat delegasi Israel kekal terhad kepada kerangka asal Witkoff tanpa ruang untuk rundingan lanjut.