Amsterdam, New York, Athens paling berisiko diancam bencana alam ekstrem - Utusan Malaysia

Amsterdam, New York, Athens paling berisiko diancam bencana alam ekstrem

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Satu laporan mengejutkan yang diterbitkan oleh Financial Times mendedahkan beberapa bandar utama dunia kini berada dalam kedudukan amat berisiko tinggi untuk dilanda bencana iklim, menjadikan mereka tidak mampu bertindak balas dengan pantas.

Antara bandar yang dikenal pasti berisiko tinggi untuk dilanda banjir ialah Amsterdam, Houston dan New York, manakala Austin pula digolongkan sebagai kawasan panas untuk insiden kebakaran hutan yang membawa maut.

Dalam masa sama, beberapa bandar yang padat penduduk seperti Lisbon, Naples, Athens dan Christchurch berada dalam kedudukan yang lebih genting dengan ancaman berganda dari gelombang haba dan banjir.

Kebanyakan bandar ini dikatakan bernasib baik kerana masih belum mengalami bencana iklim berskala besar, walaupun secara geografi dan perancangannya mereka amat terdedah kepada risiko.

Pakar kebakaran dari Imperial College London, Prof. Guillermo Rein memberi amaran walaupun lokasi sebenar bencana tidak diketahui, kemungkinan berlakunya bencana besar pada bila-bila masa kini semakin meningkat.

“Dalam masa terdekat, pasti akan berlaku kebakaran hutan besar yang memusnahkan satu komuniti. Tapi kami tidak tahu di mana ia akan terjadi,” katanya kepada Financial Times.

Sebagai contoh, Athens yang menempatkan 3.6 juta penduduk nyaris mengalami kemusnahan apabila kebakaran hutan besar menghampiri kawasan bandar pada Ogos tahun lalu, menyebabkan seorang wanita maut dan ribuan penduduk dipindahkan namun, api tidak sempat menular ke pusat bandar kerana ketiadaan angin kuat.

Sementara itu, Kajian oleh rangkaian penyelidik World Weather Attribution turut menunjukkan kebakaran besar di Los Angeles menjadi 35 peratus lebih berkemungkinan akibat pemanasan global.

Di United Kingdom (UK), musim bunga yang panas luar biasa telah menyaksikan lebih 113 batu persegi tanah terbakar sejak awal tahun 2025 – angka tertinggi setakat ini.

Selain kebakaran, ancaman banjir turut menghantui bandar-bandar besar manakala firma penyelidikan Moody’s mendedahkan 2.4 bilion penduduk dunia kini tinggal di kawasan berisiko banjir sungai atau kilat dan antara bandar yang amat terdedah termasuk Dallas, Houston, Washington DC, New York dan Sacramento serta Dallas khususnya berdepan risiko tinggi akibat pertumbuhan pesat yang menyaksikan lebih banyak permukaan konkrit yang tidak dapat menyerap air.

Kajian terbaharu ini menjadi satu lagi peringatan kepada dunia krisis iklim bukan lagi isu masa hadapan, ia sedang berlaku, dan bandar-bandar kita sedang duduk di atas titik genting tanpa banyak masa untuk bertindak. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN