BEIJING: Seorang wanita di wilayah Zhejiang, China mendakwa dirinya dijangkiti virus Herpes selepas menggunakan mikrofon semasa berkaraoke yang dipegang terlalu rapat ke mulut.
Wanita tersebut, yang tidak dinamakan, berkongsi kisahnya menerusi platform media sosial Douyin baru-baru ini, mendedahkan bagaimana dia dijangkiti virus Herpes Simplex (HSV-1) sejak lapan tahun lalu.
Menurut wanita itu, insiden berlaku pada tahun 2017 ketika dia berkunjung ke sebuah pusat karaoke di Zhejiang dan ketika beraksi di pentas, dia memegang mikrofon terlalu dekat dengan mulut sehingga menyebabkan jangkitan.
Beberapa ketika selepas itu, dia mula mengalami kemunculan lepuh kecil yang bernanah di sekitar mulut.
Walaupun terasa sakit dan gatal, dia tidak mengendahkannya kerana simptom tersebut hilang dengan sendiri.
Bagaimanapun, tidak lama kemudian, lepuh tersebut kembali, menyebabkan dia mendapatkan rawatan perubatan.
Hasil pemeriksaan doktor mengesahkan dia dijangkiti virus HSV-1 yang lazimnya menyebabkan luka sejuk di sekitar mulut.
“Saya terpaksa hidup dengan virus ini sepanjang hayat. Tiada ubat untuk menghapuskan virus ini, hanya ubat untuk melegakan kesakitan,” katanya.
Wanita berkenaan yakin mikrofon karaoke tersebut menjadi punca jangkitan memandangkan dia tidak pernah mengalami gejala herpes sebelum itu malah, katanya, sejak awal tahun ini, luka Herpes mula merebak ke pipi pula.
Video perkongsiannya menjadi tular dalam media sosial China, namun pakar dermatologi masih belum mengesahkan sama ada penggunaan mikrofon tercemar benar-benar boleh menyebabkan jangkitan HSV-1. – AGENSI