BOSTON: Universiti Harvard memfailkan saman terhadap pentadbiran Presiden Donald Trump bagi mengelakkan pembekuan lebih AS$2.2 bilion (RM10.5 bilion) dana geran penyelidikan persekutuan, susulan penolakan universiti itu untuk mematuhi arahan mengawal aktivisme pelajar di kampus.
Dalam surat kepada Harvard awal bulan ini, pentadbiran Trump mendesak reformasi kepimpinan universiti, perubahan dasar kemasukan pelajar, audit pandangan berkaitan kepelbagaian, serta menghentikan pengiktirafan terhadap kelab pelajar tertentu.
Presiden Harvard Alan Garber menegaskan universiti tidak akan tunduk kepada tekanan politik sebelum dana penyelidikan bernilai bilion dolar itu dibekukan beberapa jam kemudian.
“Kerajaan gagal menunjukkan kaitan rasional antara kebimbangan antisemitisme dengan penyelidikan perubatan, sains dan teknologi yang bertujuan menyelamatkan nyawa, memacu kejayaan dan keselamatan Amerika Syarikat (AS),” menurut kenyataan saman Harvard.
Pentadbiran Trump dalam surat 11 April lalu turut mengarahkan Harvard menguatkan disiplin terhadap penunjuk perasaan, menyaring pelajar antarabangsa yang ‘anti-nilai AS’ serta pengambilan fakulti dan pelajar tambahan bagi memastikan kepelbagaian pandangan.
Harvard enggan mematuhi desakan itu dengan berhujah ia melanggar Pindaan Pertama Perlembagaan AS berkaitan kebebasan bersuara.
Sebagai tindak balas, Trump mempersoalkan di platform Truth Social sama ada status pengecualian cukai Harvard patut ditarik balik.
Konflik ini mencetuskan ketegangan dalam hubungan lama antara kerajaan persekutuan dengan universiti yang bergantung pada dana penyelidikan awam. Dana yang selama ini menyokong penyelidikan saintifik kini dijadikan alat tekanan politik.
“Kami mempertahankan nilai yang menjadikan pendidikan tinggi AS sebagai contoh kepada dunia,” tulis Garber dalam surat kepada komuniti Harvard.
Beliau menegaskan universiti mampu memenuhi tanggungjawab undang-undang dan peranan penting dalam masyarakat tanpa campur tangan tidak wajar daripada kerajaan.
Kes ini dianggap sebagai halangan utama dalam agenda Trump untuk mereformasi universiti yang didakwa Parti Republikan, telah menjadi sarang liberalisme dan antisemitisme.
Pembekuan dana itu bakal menjejaskan beratus projek penyelidikan Harvard dalam bidang kesihatan, keselamatan negara dan inovasi teknologi yang melibatkan ribuan penyelidik.