Trump desak kapal perdagangan AS diberi laluan percuma di Terusan Panama, Suez

Trump desak kapal perdagangan AS diberi laluan percuma di Terusan Panama, Suez

KAPAL Pengawal Pantai Amerika Syarikat melalui Miraflores Locks di Terusan Panama pada 23 April lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menggesa supaya kapal-kapal tentera dan perdagangan negara itu diberi kebenaran untuk melalui Terusan Panama dan Terusan Suez secara percuma, sambil mengarahkan Setiausaha Negara, Marco Rubio untuk mengambil tindakan segera.

Trump, yang sebelum ini beberapa kali menyuarakan keinginan untuk AS mengambil alih kawalan terhadap Terusan Panama, turut memperluaskan tumpuan kepada laluan penting Terusan Suez.

“Mereka (kapal-kapal AS), sama ada ketenteraan atau perdagangan, sepatutnya dibenarkan untuk berlayar secara percuma di Terusan Panama dan Suez!” katanya dalam satu hantaran di platform media sosial miliknya, Truth Social.

Beliau mendakwa kedua-dua laluan penting itu tidak akan wujud tanpa sumbangan AS dan berkata telah mengarahkan Rubio untuk segera menyelesaikan isu berkenaan.

Awal bulan ini, Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth ketika lawatan ke Panama City menyatakan AS sedang berusaha mencapai persetujuan agar kapal perangnya diberi keutamaan dan kelonggaran tol ketika melalui Terusan Panama.

AS dan China merupakan antara pengguna terbesar Terusan Panama.

Sementara itu, Terusan Suez di Mesir, laluan utama yang menghubungkan Eropah dan Asia, sebelum ini menyumbang kira-kira 10 peratus perdagangan maritim dunia sebelum laluan tersebut terjejas akibat serangan pasukan pemberontak Houthi di Laut Merah dan Teluk Aden.

Kumpulan yang disokong Iran itu mula menyasarkan kapal dagang selepas tercetusnya perang di Gaza, sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin, memaksa kapal-kapal mengambil laluan alternatif yang lebih jauh dan mahal mengelilingi hujung selatan Afrika.

Kerajaan Mesir sebelum ini memaklumkan hasil pendapatan daripada Terusan Suez merosot 60 peratus tahun lalu, dengan kerugian mencecah AS$7 bilion (RM30 bilion).

Sejak Januari 2024, tentera AS melancarkan serangan terhadap kedudukan Houthi, yang semakin agresif di bawah pentadbiran Trump dengan serangan hampir setiap hari sepanjang bulan lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya