WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengakui rancangan pelaksanaan tarif perdagangannya berdepan masalah besar dan menjejaskan banyak pihak.
Beliau berkata, setiap perubahan pasti akan mempunyai masalah dan kesukaran, namun yakin semuanya akan kembali pulih dalam masa terdekat.
“Saya yakin ramai pelabur berasa gembira dengan pa yang dilakukan AS Ketika ini dan mereka juga akan mencari jalan bagaimana untuk berurusan dengan lebih baik.
“Semua pihak kini mencari jalan bagaimana untuk berunding bagi mengurangkan tarif yang dikenakan,” katanya.
Pada masa sama, pasaran saham AS kembali merudum berikutan perang perdagangan antara negara ini dengan China yang semakin memuncak.
Trump membuat kenyataan itu beberapa jam selepas Rumah Putih memaklumkan tarif terhadap China akan mencecah 145 peratus berikutan levi sedia ada sebanyak 20 peratus bagi produk berkaitan penghasilan dadah fentanil.
Namun, pemimpin AS itu masih berharap Washington boleh memeterai perjanjian lebih konkrit dengan Beijing.
“Saya rasa kita akan mencari jalan yag boleh beri faedah kepada kedua-dua negara. Saya berharap ia dapat dilakukan,” katanya.
Trump juga menyatakan AS entiasa mahu bekerjasama dengan China, namun negara itu sering ‘mengambil kesempatan’ dan menjejaskan Washington lebih teruk berbanding negara lain.
Beijing pula sehingga kini tidak menunjukkan tanda-tanda ‘mahu mengalah’.
Dalam pada itu, tiga saham Utama AS yang sebelum ini menunjukkan lonjakan Kembali jatuh dengan S&P 500 kerugian 3.6 peratus, Dow Jones (2.5 peratus) dan Nasdaq (4.31 peratus).
Sementara itu, pegawai kewangan Trump, Howard Lutnick berkata, banyak negara mahu berunding dengan AS dan mereka akan membuat tawaran ‘yang tidak pernah dibuat’ sebelum ini.
Terdahulu, China mengumumkan untuk mengehadkan import jumlah filem Hollywood di pawagamnya susulan pengecualian jeda tarif oleh AS.
Sebelum ini, China sudah pun mengurangkan kemasukan filem Hollywood sebanyak 34 setahun, menyaksikan industri AS di negara itu semakin tidak mendapat tempat dalam masyarakatnya.
Kesatuan Eropah (EU) turut membuat keputusan menangguhkan tarif balas terhadap AS selama 90 hari.