Tragedi kereta kabel di Itali ragut empat nyawa

Tragedi kereta kabel di Itali ragut empat nyawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROME: Empat orang disahkan maut manakala seorang lagi cedera dalam tragedi kereta kabel yang terjunam ke dalam gaung berhampiran bandar pesisir selatan Itali, Naples, menurut bomba.

Insiden berlaku apabila kabel yang menyambungkan bandar pelancongan Castellammare di Stabia ke Gunung Faito sejauh kira-kira tiga kilometer putus secara tiba-tiba, lapor media tempatan.

“Empat mayat telah ditemui, manakala seorang mangsa yang cedera berjaya diselamatkan dan dibawa ke hospital,” menurut kenyataan Jabatan Bomba menerusi saluran Telegram, sambil mengesahkan ia merupakan angka rasmi terakhir.

Lebih 50 anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.

Satu daripada kabin yang membawa 16 penumpang berada berhampiran kawasan Castellammare dan berjaya diturunkan ke tanah dengan selamat.

Namun, satu lagi kabin tergantung di atas cerun curam Gunung Faito dan usaha menyelamat terganggu akibat keadaan berkabus.

Kereta kabel tersebut baru sahaja dibuka semula untuk musim panas dan pihak pendakwa raya sudah melancarkan siasatan terhadap punca nahas.

“Kereta kabel itu dibuka semula 10 hari lalu dengan semua syarat keselamatan telah dipenuhi.

“Apa yang berlaku hari ini adalah satu tragedi yang tidak dapat dibayangkan dan di luar jangkaan,” kata Ketua Syarikat Pengendali Kereta Kabel, Umberto de Gregorio.

Perdana Menteri, Giorgia Meloni yang berada dalam lawatan ke Washington, menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Kereta kabel itu beroperasi sejak tahun 1952 dan pernah mengalami insiden serupa pada tahun 1960 yang turut meragut empat nyawa.

Pada Mei 2021, satu nahas kereta kabel di kawasan pergunungan Alps berhampiran Tasik Maggiore mengorbankan 14 orang.

Manakala pada tahun 1998, sebuah pesawat pejuang Amerika Syarikat (AS) yang sedang menjalani latihan penerbangan rendah telah memutuskan tali kabel keluli, mengakibatkan kematian 20 penumpang kereta kabel di kawasan pergunungan Dolomites.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN