LONDON: Dunia fesyen bakal menyaksikan kelahiran satu inovasi luar biasa apabila sekumpulan saintis mengumumkan rancangan menghasilkan kulit dinosaur spesies Tyrannosaurus rex (T.Rex) pertama di dunia menggunakan teknologi kejuruteraan genetik.
Syarikat The Organoid Company, Lab-Grown Leather Ltd bersama agensi kreatif VML bekerjasama membangunkan kulit T.Rex tersebut di sebuah makmal di Newcastle, United Kingdom (UK).
Projek itu akan menggunakan serpihan kolagen yang diekstrak daripada fosil T.Rex yang ditemui pada tahun 1988 di Montana, Amerika Syarikat (AS), iaitu satu daripada spesimen paling lengkap pernah dijumpai serta mengandungi protein darah yang masih terpelihara.
Saintis akan menggunakan serpihan tersebut untuk membina semula urutan penuh kolagen T.Rex secara buatan dan setelah disahkan menyerupai struktur genetik nenek moyang haiwan purba itu, urutan tersebut akan dimasukkan ke dalam sel kulit yang ditumbuhkan di makmal untuk menghasilkan kulit dinosaur tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat The Organoid, Thomas Mitchell berkata, projek tersebut merupakan contoh luar biasa bagaimana kejuruteraan genom dan protein dapat digunakan untuk mencipta bahan baharu yang inovatif.
“Melalui pembinaan dan pengoptimuman semula protein purba, kami berjaya mereka bentuk kulit T.Rex yang diinspirasikan oleh biologi zaman prasejarah,” katanya.
Pada peringkat awal, kulit T.Rex akan digunakan dalam penghasilan aksesori mewah, dengan sasaran untuk melancarkan produk komersial pertama menjelang akhir tahun 2025.
Pihak syarikat optimis pengeluaran berskala besar kelak akan membuka peluang untuk pengembangan ke sektor lain, termasuk industri automotif.