ROM: Buat pertama kali dalam sejarah perubatan, saintis berjaya mengesan kewujudan mikroplastik dalam cecair folikel ovari wanita, sekali gus mencetuskan kebimbangan baharu terhadap kesan pencemaran bahan toksik ini terhadap kesuburan dan kesihatan reproduktif wanita.
Penemuan penting itu didedahkan menerusi kajian terkini yang diterbitkan dalam jurnal Ecotoxicology and Environmental Safety.
Kajian tersebut melibatkan 18 wanita yang menjalani rawatan kesuburan di sebuah klinik di Salerno, Itali, dan mendapati mikroplastik wujud dalam cecair folikel bagi 14 daripada mereka.
Cecair folikel berperanan penting sebagai pembekal nutrien dan isyarat biokimia kepada telur yang sedang berkembang.
Kehadiran zarah plastik dalam cecair ini, menurut pengkaji, berkemungkinan besar memberi kesan terhadap kesuburan, keseimbangan hormon dan kesihatan sistem pembiakan secara keseluruhan.
“Kami melihat ini sebagai isyarat amaran yang sangat penting mengenai betapa serius dan meluasnya pencerobohan bahan cemar moden ini dalam sistem reproduktif wanita,” kata pengkaji utama, Profesor Luigi Montano dari Universiti Rome.
Mikroplastik sebelum ini dikesan di pelbagai lokasi ekstrem dunia dari puncak Gunung Everest hinggalah ke dasar Palung Mariana.
Kajian terdahulu turut mengesan mikroplastik dalam hampir semua makanan termasuk daging dan hasil tani, menjadikan pemakanan sebagai antara laluan utama pendedahan manusia kepada bahan itu.
Menurut pakar, mikroplastik amat berbahaya kerana ia membawa lebih 16,000 bahan kimia plastik, termasuk sebatian toksik seperti perfluoroalkyl substances (Pfas), bisfenol dan ftalat, yang diketahui boleh menyebabkan kanser, gangguan hormon, toksik pada sistem saraf dan mengganggu perkembangan janin.
Montano menjelaskan, dalam kajian yang lebih luas yang sedang diketuainya, mikroplastik juga telah dikesan dalam air kencing dan air mani manusia dan beliau percaya bahan ini menyumbang kepada penurunan jumlah serta kualiti sperma secara mendadak, terutamanya di kawasan berindeks pencemaran tinggi. -AGENSI