PARIS: Insiden kebakaran besar berlaku berhampiran kompleks mahkamah baharu di Paris yang direka oleh arkitek terkenal Itali, Renzo Piano, menyebabkan kepulan asap hitam tebal menyelubungi sebahagian besar ibu kota.
Menurut pihak bomba, kebakaran itu memusnahkan satu daripada loji kitar semula terbesar di bandar itu, memaksa pihak berkuasa menggesa orang awam agar menjauhi kawasan tersebut.
Kira-kira 60 jentera dan 200 anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian, namun tiada mangsa dilaporkan setakat ini.
Api marak dengan cepat sehingga menerangi langit malam, manakala sebahagian lebuh raya utama yang mengelilingi Paris terpaksa ditutup bagi memudahkan akses jentera bomba ke lokasi kejadian.
“Bangunan itu musnah sepenuhnya. Seramai 31 pekerja yang berada di lokasi telah berjaya dipindahkan sebelum api merebak.
“Pasukan bomba tiba dengan cepat. Api mula marak di kawasan bawah tanah, khususnya di zon kitar semula yang mengandungi bahan mudah terbakar sebelum merebak ke seluruh bangunan,” kata Datuk Bandar, Geoffrey Boulard kepada stesen televisyen BFM.
Kebakaran tersebut berlaku di loji kitar semula Syctom, yang terletak berhampiran kompleks mahkamah utama Paris dan turut menempatkan sebuah bangunan pencakar langit kaca yang direka oleh Piano dan dirasmikan pada tahun 2018.
Loji yang mula beroperasi pada tahun 2019 itu dibina bagi mengendalikan sisa domestik untuk hampir sejuta penduduk Paris, menurut pihak berkuasa bandar.
Presiden tapak tersebut, Corentin Duprey, turut mengesahkan kepada BFM insiden besar itu tidak melibatkan kehilangan nyawa.
“Perkara paling penting malam ini ialah tiada kehilangan nyawa dan kecederaan dalam bencana sebesar ini,” katanya.