Putin umum kerahan tentera terbesar Russia

Putin umum kerahan tentera terbesar Russia

ORANG ramai berjalan melepasi papan iklan yang memberi penghormatan kepada anggota tentera Russia dan mempromosikan perkhidmatan ketenteraan secara kontrak di Saint Petersburg.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin mengarahkan 160,000 lelaki berusia 18 hingga 30 tahun untuk menyertai perkhidmatan ketenteraan, jumlah tertinggi sejak 2011 ketika Moscow berusaha memperluaskan saiz pasukan pertahanannya.  

Panggilan masuk untuk perkhidmatan selama setahun itu dibuat beberapa bulan selepas Putin mengumumkan Russia perlu meningkatkan jumlah keseluruhan tenteranya kepada hampir 2.39 juta, dengan jumlah anggota aktif mencapai 1.5 juta.  

Ini merupakan peningkatan sebanyak 180,000 anggota dalam tempoh tiga tahun akan datang.  

Timbalan Laksamana Tentera, Vladimir Tsimlyansky berkata, rekrut baharu itu tidak akan dihantar ke medan perang di Ukraine yang disebut sebagai operasi ketenteraan khas oleh Russia.  

Namun, terdapat laporan bahawa beberapa rekrut melalui kerahan tenaga sedemikian terkorban dalam pertempuran di kawasan sempadan Russia dan mereka juga pernah dihantar ke Ukraine pada bulan-bulan awal peperangan berskala penuh itu.  

Panggilan masuk kali ini yang berlangsung antara April hingga Julai, dilakukan di tengah-tengah usaha Amerika Syarikat (AS) untuk merundingkan gencatan senjata dalam perang tersebut.  

Namun, keganasan tetap berlanjutan pada Selasa, dengan Ukraine melaporkan serangan Russia ke atas sebuah fasiliti tenaga di bandar Kherson menyebabkan 45,000 penduduk kehilangan bekalan elektrik.  

Meskipun Russia menolak gencatan senjata penuh yang diusahakan oleh AS, Moscow mendakwa sudah bersetuju untuk menghentikan serangan terhadap infrastruktur tenaga Ukraine. 

Dalam usaha menafikan pihaknya melanggar perjanjian tersebut, pegawai Russia berkata, Putin telah dimaklumkan bahawa serangan dron Ukraine masih berterusan tanpa sebarang petanda jeda.  

Russia biasanya memanggil rekrut baharu pada musim bunga dan musim luruh, tetapi jumlah terkini sebanyak 160,000 orang adalah 10,000 lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada 2024.  

Sejak awal tahun lalu, jumlah pemuda yang layak untuk dipanggil untuk kerahan tenaga meningkat dalam skala besar selepas kerajaan menaikkan had umur maksimum daripada 27 kepada 30 tahun.  

Selain menerima notis panggilan masuk melalui pos, pemuda Russia juga akan menerima pemberitahuan melalui laman perkhidmatan kerajaan, Gosuslugi tetapi di Moscow, terdapat laporan bahawa panggilan masuk sudah mula dihantar sejak Selasa melalui laman web rasmi bandar tersebut, mos.ru.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya