Presiden AS mula jual barangan ‘Trump 2028’ meskipun dilarang bertanding penggal ketiga - Utusan Malaysia

Presiden AS mula jual barangan ‘Trump 2028’ meskipun dilarang bertanding penggal ketiga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terus mencetuskan kontroversi baharu apabila kedai atas talian miliknya mula menjual pelbagai barangan berjenama “Trump 2028,” biarpun beliau secara perlembagaan dilarang daripada bertanding dalam pilihan raya presiden buat kali ketiga.

Trump, 78, yang kini berdepan penurunan sokongan rakyat berdasarkan tinjauan pendapat terbaharu, sebelum ini tidak menolak kemungkinan untuk kembali berkhidmat dalam penggal ketiga walaupun ia memerlukan pindaan terhadap Perlembagaan Amerika Syarikat.

Walaupun ramai pakar politik, termasuk bekas Peguam Negara di bawah pentadbirannya sendiri, menyifatkan usaha itu hampir mustahil, Trump terus membayangkan cita-cita tersebut kepada penyokongnya.

Terkini, satu akaun media sosial yang berkait dengan beliau memuat naik gambar anak lelakinya, Eric Trump memakai topi merah bertulis “Trump 2028”, yang dijual pada harga AS$50 (kira-kira RM240).

Menurut keterangan produk di laman Trump Store, topi tersebut didakwa merupakan buatan Amerika dan digalakkan sebagai satu bentuk pernyataan politik.

Koleksi lain turut ditawarkan termasuk kemeja-T berwarna merah dan biru laut berharga AS$36 (RM 157) dengan slogan Trump 2028 (Rewrite the Rules) serta penyejuk tin minuman bertema sama dijual pada harga AS$18 (RM 78).

Menurut Pindaan ke-22 Perlembagaan Amerika Syarikat, tiada individu boleh dipilih sebagai Presiden lebih daripada dua kali.

Trump yang telah memegang jawatan Presiden dari 2017 hingga 2021 dan kini menjalani penggal kedua, sebelum ini pernah menyatakan beliau tidak bergurau apabila bercakap mengenai penggal ketiga malah, beliau mendakwa wujud cara tertentu untuk membolehkan hasrat tersebut direalisasikan kenyataan yang dianggap meresahkan pemerhati politik.

Sekiranya benar-benar ingin meminda Perlembagaan, Trump memerlukan sokongan dua pertiga ahli Dewan Perwakilan dan Senat, selain kelulusan daripada 38 daripada 50 negeri suatu hal yang dianggap mustahil dalam landskap politik semasa.

Pemerhati politik melihat tindakan Trump ini bukan sahaja sebagai usaha mengukuhkan jenamanya, tetapi juga sebagai ujian terhadap sistem demokrasi Amerika yang semakin terdedah kepada manipulasi dan populisme ekstrem. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya