KHARTOUM: Satu-satunya pusat penyelidikan di dunia yang memberi tumpuan kepada penyakit kulit mycetoma iaitu sejenis penyakit tropika yang lazim dalam kalangan petani musnah akibat perang saudara yang berlarutan dua tahun di Sudan.
Pengarah Pusat Kajian Mycetoma (MRC), Prof. Ahmed Fahal berkata, pusat ini dan seluruh infrastrukturnya musnah sepenuhnya.
“Kami kehilangan keseluruhan kandungan bank biologi, termasuk data lebih 40 tahun,” kata Fahal.
Sejak 15 April 2023, tentera Sudan terlibat dalam konflik bersenjata dengan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) di seluruh negara di timur laut Afrika itu.
MRC terletak di kawasan Khartoum, yang dirampas semula oleh tentera dari tangan RSF bulan lalu.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sistem kesihatan Sudan kini berada di ambang kehancuran.
Pusat MRC yang ditubuhkan pada tahun 1991 di bawah naungan Universiti Khartoum, merupakan antara kisah kejayaan perubatan yang jarang berlaku di Sudan ekoran kemiskinan di negara itu.
Sebuah video yang disediakan oleh inisiatif antarabangsa Drugs for Neglected Diseases initiative (DNDi) menunjukkan keadaan pusat itu dengan siling runtuh, rak terbalik, peti sejuk terbuka dan dokumen bertaburan.
Mycetoma disebabkan oleh jangkitan bakteria atau kulat yang biasanya memasuki badan melalui luka.
Ia merupakan penyakit berjangkit yang merosakkan tisu badan termasuk kulit, otot dan juga tulang, selain amat ditakuti oleh golongan petani kerana mengehadkan pergerakan mereka.