BANDUNG: Kerajaan Wilayah Jawa Barat akan melaksanakan program pendidikan moral atau pemulihan akhlak bagi pelajar bermasalah dengan menempatkan mereka di berek tentera selama enam bulan bermula 2 Mei ini.
Gabenor Jawa Barat, Dedi Mulyadi berkata, program tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat bermula di kawasan-kawasan yang dikenal pasti sebagai zon berisiko tinggi, dengan kerjasama pihak Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan Polis Republik Indonesia (Polri).
“Tidak perlu serentak di 27 kabupaten/kota. Kita akan mulai dari daerah yang sudah siap dan dianggap terdedah terlebih dahulu, lalu secara bertahap diperluas,” katanya dalam sidang akhbar di Bandung semalam seperti dilaporkan Antara.
Tambah beliau, sekitar 30 hingga 40 berek khas telah disediakan bagi tujuan ini, dan peserta program akan dipilih berdasarkan persetujuan pihak sekolah serta ibu bapa.
Keutamaan diberikan kepada pelajar yang sukar dibentuk atau terlibat dalam pergaulan bebas serta kegiatan jenayah.
“Selama enam bulan mereka akan ditempatkan di barak dan tidak menghadiri sekolah formal. TNI akan menjemput langsung pelajar dari rumah untuk dibawa menjalani pembinaan karakter dan perilaku,” jelas Dedi.
Kos program ini akan dibiayai secara bersama oleh Kerajaan Wilayah Jawa Barat dan pihak berkuasa setempat daerah-daerah yang terlibat.
Program ini dilihat sebagai langkah baharu dalam usaha memperkukuhkan disiplin dan sahsiah pelajar di wilayah itu. -AGENSI