TEHERAN: Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei mengarahkan siasatan menyeluruh berhubung punca letupan besar di pelabuhan selatan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 70 orang dan mencederakan lebih 1,000 orang, pada Ahad.
Arahan itu dikeluarkan selepas Presiden Masoud Pezeshkian mengunjungi lokasi letupan di Pelabuhan Shahid Rajaee berhampiran Selat Hormuz yang strategik, dengan kebakaran masih berlanjutan lebih 24 jam selepas kejadian pada Ahad.
“Pihak berkuasa keselamatan dan kehakiman wajib menyiasat sepenuhnya, mendedahkan sebarang kecuaian atau niat jahat, dan mengambil tindakan mengikut peraturan,” kata Khamenei dalam pesanan yang disiarkan televisyen negara.
Dengan asap tebal dan pencemaran udara merebak ke seluruh kawasan, semua sekolah dan pejabat di Bandar Abbas, ibu kota wilayah Hormozgan, diarah tutup bagi membolehkan pihak berkuasa memberi tumpuan kepada operasi kecemasan, menurut televisyen negara.
Kementerian Kesihatan menggesa penduduk mengelak keluar rumah sehingga notis selanjutnya dan memakai pelitup muka.
Ketibaan presiden di bandar Abbas disertai penghargaan kepada pasukan bantuan awal, sambil menegaskan kedatangan mereka untuk melihat sendiri jika ada perkara yang memerlukan tindakan susulan kerajaan.
“Kami akan berusaha membantu keluarga mangsa yang kehilangan ahli tersayang, dan memastikan rawatan terbaik buat yang tercedera,” katanya.
Kedutaan Russia menyatakan Moscow menghantar beberapa pesawat yang membawa pakar untuk membantu memadam kebakaran.
The New York Times memetik sumber rapat Pengawal Revolusi Iran (yang enggan namanya didedahkan) mendakwa bahan meletup ialah natrium perklorat iaitu komponen utama bahan api pepejal misil.
Bagaimanapun, jurucakap Kementerian Pertahanan Reza Talaei-Nik menafikan kewujudan sebarang kargo bahan api atau kegunaan ketenteraan di kawasan itu.
Pejabat kastam pelabuhan dalam kenyataan televisyen negara menyatakan letupan mungkin berpunca daripada kebakaran di gudang penyimpanan bahan kimia berbahaya.
“Setakat ini, 46 orang dilaporkan maut akibat kecederaan oleh letupan,” kata pegawai wilayah Hormozgan Mohammad Ashouri.