LONDON: Kumpulan hak asasi, Skyline International for Human Rights menggesa Microsoft dipertanggungjawabkan berhubung pembabitannya dalam genosid yang dilakukan tentera Zionis di Semenanjung Gaza.
Menurut laporan hak asasi manusia dan media, sejak permulaan perang di Gaza pada Oktober 2023, Microsoft memberikan sokongan teknikal secara langsung kepada tentera Israel bernilai sekurang-kurangnya AS$10 juta (RM44.3 juta) melalui platform cloud, Azure.
Laporan turut mendedahkan sokongan Microsoft termasuk perkhidmatan pengurusan data, pembangunan sistem sasaran serangan, peningkatan teknologi pengawasan, serta penyediaan alat kecerdasan buatan (AI) canggih.
Antaranya ialah sistem berasaskan AI bernama ‘Lavender’ yang direka untuk mengenal pasti sasaran pengeboman hingga menyebabkan kematian ribuan orang awam di Gaza.
Laporan juga mendakwa Microsoft membekalkan teknologi pengawasan biometrik untuk menjejak rakyat Palestin.
Ini berlaku ketika angka kematian di Gaza telah mencecah lebih 50,800 orang termasuk lebih 18,000 kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Dalam satu kenyataan, Skyline menegaskan bahawa sokongan berterusan Microsoft kepada Israel melanggar Prinsip Panduan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia.
Pertubuhan itu mendesak syarikat teknologi tersebut mendedahkan secara telus hubungannya dengan rejim penjajah Israel serta menghentikan semua bentuk kerjasama yang berkaitan dengan aktiviti ketenteraan yang melanggar undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.