BANGKOK: Sekurang-kurangnya lima pegawai polis Thailand maut selepas sebuah pesawat kecil milik pasukan keselamatan itu terhempas ke laut berhampiran kawasan peranginan terkenal di daerah Hua Hin, pagi tadi.
Jurucakap Polis Diraja Thailand, Mejar Jeneral Archayon Kraithong berkata, pesawat berkenaan menjalankan penerbangan ujian bagi persiapan latihan terjun payung sebelum nahas berlaku kira-kira pukul 8 pagi waktu tempatan.
Walaupun pihak berkuasa belum mengesahkan model pesawat tersebut, gambar yang tular di media tempatan menunjukkan ia berkemungkinan jenis Viking DHC-6 Twin Otter, sebuah pesawat berenjin kipas yang lazim digunakan dalam misi taktikal.
Pesawat itu dilaporkan terhempas di laut hanya kira-kira 100 meter dari Lapangan Terbang Hua Hin, menurut Jabatan Perhubungan Awam wilayah Prachuap Khiri Khan.
Rakaman di lokasi menunjukkan bangkai pesawat terdampar di laut dalam keadaan terputus dua, dipercayai akibat impak kuat semasa perlanggaran.
Kesemua enam individu di dalam pesawat merupakan pegawai polis.
Pada mulanya, Archayon memaklumkan lima maut di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia di hospital namun, beliau kemudian mengemas kini kenyataan itu dengan memaklumkan seorang mangsa masih hidup dan kini dalam keadaan kritikal di hospital.
Tambah beliau, punca kejadian masih belum dapat dipastikan dan siasatan sedang dijalankan termasuk analisis terhadap kotak hitam pesawat bagi mengenal pasti punca sebenar tragedi itu. -AGENSI