AMBON: Pemimpin tarekat La Bandunga, La Bandunga Buton menafikan dakwaan Majlis Ulama Indonesia (MUI) yang menyatakan kumpulan itu melakukan ajaran sesat dengan menjual ‘tiket ke syurga’ kepada para pengikutnya dengan bayaran sebanyak 7 juta rupiah ( RM2,000).
Menurut La Bandunga, tuduhan tersebut adalah tidak berasas dan hanya merupakan fitnah semata-mata.
Dia menegaskan kumpulan tarekat pimpinannya tidak pernah mengajarkan apa-apa ajaran seumpama itu, apatah lagi menjanjikan syurga melalui bayaran wang.
“Kalau benar seperti yang dituduh, maka tidak perlulah manusia belajar agama atau beribadah. Tinggal beli tiket naik pesawat, terus masuk syurga,” katanya.
Dia turut membantah tuduhan lain yang dilemparkan oleh MUI termasuk dakwaan kumpulan itu tidak mewajibkan pengikutnya melaksanakan rukun Islam seperti solat, puasa dan zakat.
Tuduhan lain yang dinafikan La Bandunga ialah kumpulan tersebut didakwa mengubah lafaz syahadah dan Surah Al-Fatihah dalam kitab atau buku panduan mereka yang dinamakan ‘Perisai Diri’.
Terdahulu, MUI Daerah Seram Bagian Barat menghentikan segala aktiviti kumpulan tarekat tersebut di Dusun Limboro, daerah Huamual selepas didapati menyebarkan ajaran yang bercanggah dengan akidah Islam.
Dialog antara MUI dan empat orang pemimpin kumpulan tersebut turut diadakan di Ibu Pejabat Polis Seram Bagian Barat.
Susulan pertemuan itu, seramai 17 orang pengikut kumpulan berkenaan yang berada di Dusun Limbot dilaporkan telah kembali mengucap dua kalimah syahadah secara rasmi di masjid dusun berkenaan.
Untuk rekod, kumpulan La Bandunga pernah aktif di Masohi, Daerah Maluku Tengah sekitar tahun 2002 namun telah diharamkan oleh pihak berkuasa agama kerana membawa ajaran yang dianggap sesat. -AGENSI