Byrnihat dinobat bandar paling tercemar dunia, ramai penduduk alami sesak nafas

Byrnihat dinobat bandar paling tercemar dunia, ramai penduduk alami sesak nafas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BYRNIHAT: Seorang kanak-kanak perempuan menjadi antara mangsa terkini pencemaran udara teruk di Byrnihat, sebuah bandar kecil perindustrian di sempadan negeri Assam dan Meghalaya, India yang baru-baru ini diisytihar sebagai kawasan metropolitan paling tercemar di dunia oleh kumpulan pemantau kualiti udara Switzerland, IQAir.

Sumaiya Ansari, dua tahun, terpaksa menerima bantuan oksigen selepas mengalami masalah pernafasan yang berlarutan selama beberapa hari sebelum dimasukkan ke hospital pada Mac lalu.

“Ia sangat menakutkan, dia bernafas seperti ikan,” kata Abdul Halim, bapa kepada Sumaiya, yang membawanya pulang selepas dua hari dirawat di hospital.

Seorang pegawai perubatan di Pusat Kesihatan Utama Byrnihat, Dr. J. Marak berkata, kes jangkitan pernafasan di kawasan itu melonjak kepada 3,681 kes pada tahun ini berbanding hanya 2,082 kes pada tahun 2022.

“Sebanyak 90 peratus pesakit yang kami rawat setiap hari datang dengan gejala batuk atau masalah pernafasan lain,” katanya.

Penduduk tempatan mengadu pencemaran udara turut menyebabkan ruam kulit, kerengsaan mata, serta kerosakan tanaman selain menyukarkan urusan harian termasuk menjemur pakaian di luar rumah.

Krisis yang melanda Byrnihat dilihat sebagai satu cerminan kepada masalah pencemaran yang bukan sahaja membelenggu bandar-bandar besar India seperti New Delhi, malah kini merebak ke kawasan bandar kecil akibat pembangunan industri yang pesat tanpa kawalan alam sekitar yang mencukupi.

Tidak seperti bandar lain yang mengalami pencemaran hanya pada musim sejuk, pencemaran udara di Byrnihat berlaku sepanjang tahun, menurut data kerajaan.

Dengan kira-kira 80 buah industri beroperasi kebanyakannya dikategorikan sebagai berisiko tinggi, pakar menyatakan keadaan diburukkan lagi oleh pelepasan asap daripada kenderaan berat serta bentuk muka bumi Byrnihat yang berupa ‘mangkuk’ yang menyukarkan pergerakan dan penyebaran zarah pencemar.

Menurut data terkini IQAir, purata tahunan kepekatan PM2.5 di Byrnihat pada tahun 2024 mencecah 128.2 mikrogram per meter padu, lebih 25 kali ganda melebihi paras yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

PM2.5 merujuk kepada zarah halus udara berukuran 2.5 mikron atau lebih kecil yang mampu menembusi paru-paru dan dikaitkan dengan pelbagai penyakit maut termasuk masalah jantung. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya