BANGKOK: Thailand bakal menggunakan Kad Ketibaan Digital Thailand (TDAC) bermula 1 Mei ini, menggantikan penggunaan borang ketibaan kertas bagi semua pelawat antarabangsa yang masuk melalui laut, udara dan darat.
Menurut Ketua Bahagian Imigresen 2 di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Mejar Jeneral Polis Choengron Rimpadee, langkah itu bertujuan mempercepatkan urusan ketibaan serta meningkatkan saringan terhadap penjenayah rentas negara.
Pelancong yang ingin memasuki Thailand diwajibkan memohon TDAC sekurang-kurangnya tiga hari sebelum tarikh ketibaan mereka.
Permohonan kad digital ini akan dibuka mulai esok, 28 April, bagi mereka yang merancang tiba pada 1 Mei.
Kad digital tersebut akan menggantikan borang ketibaan TM6, yang penggunaannya telah digantung sejak tahun lalu susulan kerja-kerja naik taraf sistem imigresen.
“TDAC jauh lebih cekap kerana kesederhanaannya serta kemudahan capaian di mana-mana sahaja, berbeza dengan sistem lama yang bergantung kepada agihan kad oleh kakitangan syarikat penerbangan atau lapangan terbang,” kata Choengron.
TDAC juga dihubungkan secara langsung dengan pangkalan data biometrik Jabatan Imigresen, membolehkan pegawai menyemak latar belakang jenayah pelawat dengan lebih pantas.
Sistem baharu ini turut memastikan maklumat tempat penginapan yang diisytiharkan pelawat dikemas kini secara automatik ke dalam pangkalan data imigresen, sekali gus mengurangkan keperluan pengisian data secara manual.
Sementara itu, Ketua Polis Negara Thailand, Kittharath Punpetch pada 25 April lalu berkata, pelaksanaan TDAC akan meningkatkan kecekapan operasi dan membantu menghalang kegiatan jenayah, khususnya mencegah kumpulan jenayah rentas negara daripada menjadikan Thailand sebagai pusat operasi.