TOKYO: Sekumpulan penyelidik dari Jepun mencipta plastik inovatif yang bersifat larut dalam air masin, dalam usaha menangani masalah pencemaran mikroplastik.
Penyelidikan diketuai Takuzo Aida dari RIKEN Center for Emergent Science (CEMS) berjaya membangunkan plastik yang kukuh semasa digunakan, namun mudah larut apabila terdedah kepada air masin.
Sebaik sahaja larut, plastik inovatif itu akan terurai menjadi sebatian yang tidak berbahaya, sekali gus membantu mengurangkan kesan pencemaran terhadap alam sekitar.
Dalam kajian baharu itu, Aida dan pasukannya menumpukan kepada plastik supramolekul, polimer dengan struktur yang disatukan oleh interaksi boleh balik.
“Walaupun sifat boleh balik dalam plastik supramolekul sering dianggap menjadikannya lemah dan tidak stabil, bahan baharu kami menunjukkan sifat yang sebaliknya,” kata Aida.
Seperti minyak dan air, beliau menjelaskan, apabila dua monomer tersebut dicampur dalam air, penyelidik mendapati kedua-duanya membentuk dua lapisan cecair yang berasingan.
Salah satunya adalah cecair likat dan pekat yang mengandungi jambatan garam bersilang bagi struktur plastik, manakala lapisan lain bersifat lebih cair serta mengandungi ion garam.
Plastik, yang dinamakan alkil SP2, dihasilkan dengan mengeringkan cecair likat yang tinggal.
Penyelidik menemukan proses ‘penyahgaraman’ memainkan peranan penting dalam penghasilan plastik baharu itu.
Tanpa langkah tersebut, bahan yang dihasilkan menjadi kristal rapuh dan tidak boleh digunakan, tetapi apabila ia terdedah kepada air masin, strukturnya mula terurai dalam tempoh beberapa jam.- AGENSI