SINGAPURA: Noor Aishah yang juga isteri kepada Presiden pertama Singapura, Allahyarham Yusof Ishak meninggal dunia pada usia 91 tahun.
Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa (22 April) menzahirkan rasa sedih dan dukacitanya dengan pemergian tokoh berkenaan.
“Dengan penuh kelembutan dan kekuatan yang tenang, beliau sentiasa berada di sisi Yusof Ishak dan memberikan sokongan teguh sepanjang tempoh mencabar ketika negara ini sedang dibina,” kata Wong dalam catatan itu.
“Di luar istana, beliau mendedikasikan diri dalam khidmat masyarakat melalui pertubuhan seperti Palang Merah Singapura dan Persatuan Wanita Islam Singapura (PPIS),” tambahnya.
“Kebaikan dan sumbangan beliau menyentuh kehidupan banyak orang. Semoga legasi beliau terus menjadi inspirasi kepada kita semua,” ujar Lawrence lagi.
Dilahirkan di Selangor pada tahun 1933, Noor Aishah berkahwin dengan Allahyarham Yusof pada 1949 ketika berusia 16 tahun dan pasangan itu dikurniakan tiga orang anak.
Allahyarham Noor Aishah berusia 26 tahun ketika suaminya mengangkat sumpah sebagai Ketua Negara pada 1959.
Suami beliau, Allahyarham Yusof telah berkhidmat selama tiga penggal sebelum meninggal dunia akibat kegagalan jantung pada 1970.
Pada tahun-tahun akhir pentadbiran Yusof, Allahyarham Noor Aishah mengambil alih beberapa tanggungjawab termasuk menyampaikan Anugerah Hari Kebangsaan susulan keadaan kesihatan suaminya yang semakin merosot.
Sepanjang hayatnya, Allahyarham Noor Aishah pernah menjadi penaung kepada beberapa pertubuhan termasuk Palang Merah Singapura, Persatuan Wanita Islam Muda Singapura (PPIS), Persatuan Kanak-Kanak, Persatuan Pandu Puteri, Persatuan Orang Buta, Persatuan Spastik dan Persatuan Orang Pekak.
Atas jasa dan sumbangannya juga, Allahyarham Noor Aishah terpilih sebagai tokoh dalam Singapore Women’s Hall of Fame pada 2018. – Agensi