Implan kontraseptif lelaki mampu bertahan dua tahun

Implan kontraseptif lelaki mampu bertahan dua tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VIRGINIA: Sebuah syarikat bioteknologi berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Contraline, mengumumkan kejayaan awal ujian klinikal terhadap sejenis implan kontraseptif lelaki bukan hormon yang dikenali sebagai Adam, yang didakwa mampu mencegah kehamilan sehingga dua tahun.

Produk tersebut merupakan sejenis hidrogel larut air yang dimasukkan ke dalam saluran sperma (vas deferens) bagi menghalang sperma daripada bercampur dengan air mani semasa ejakulasi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas Contraline, Kevin Eisenfrats, pendekatan ini menawarkan alternatif sementara berbanding kaedah penggunaan kondom atau vasektomi.

“Kami amat gembira kerana sejak hari pertama, matlamat kami adalah untuk menghasilkan kontraseptif lelaki yang berkesan selama dua tahun dan kini kami mempunyai data awal yang menunjukkan ia boleh dicapai,” katanya dalam kenyataan.

Kata Eisenfrats, sebanyak 25 peserta menyertai fasa pertama ujian klinikal itu dengan dua daripadanya menunjukkan tiada sperma dikesan dalam air mani selepas tempoh dua tahun selain tiada kesan sampingan serius dilaporkan setakat ini.

Prosedur memasukkan implan tersebut hanya mengambil masa kira-kira 10 minit dan dilakukan menggunakan bius setempat tanpa pesakit perlu dibius penuh.

Berbanding beberapa implan lain yang turut bertindak menyekat saluran sperma, Eisenfrats menjelaskan Adam dibangunkan menggunakan bahan yang direka terurai secara semula jadi dalam tubuh manusia, sekali gus mengurangkan risiko parut atau kemandulan kekal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN