THE HAGUE: Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) meminta Hungary mengemukakan penjelasan berhubung kegagalan negara itu melaksanakan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, ketika lawatannya ke negara itu awal April lalu.
Dalam kenyataan pada Rabu, ICC memaklumkan, pihaknya telah menghantar permintaan rasmi untuk penahanan sementara Netanyahu kepada kerajaan Hungary pada 3 April.
Tahun lalu, ICC mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant atas dakwaan jenayah perang terhadap penduduk Palestin di Gaza.
Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban, yang juga sekutu rapat Netanyahu sebelum ini menolak waran tersebut dan menyatakan hasrat untuk membawa negara itu keluar daripada tribunal berkenaan.
Susulan kegagalan melaksanakan waran itu, ICC menetapkan tarikh akhir sehingga 23 Mei bagi Hungary mengemukakan penjelasan rasmi menerusi prosiding di bawah Artikel 78(7) Statut Rom.