FBI tahan hakim Milwaukee didakwa cuba lindungi pendatang

FBI tahan hakim Milwaukee didakwa cuba lindungi pendatang

PENUNJUK perasaan berhimpun membantah pendakwaan Hannah Dugan di hadapan Mahkamah Persekutuan di Wisconsin.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MILWAUKEE: Seorang hakim Mahkamah Derah Milwaukee ditahan oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan didakwa di Mahkamah Persekutuan atas tuduhan menghalang penahanan seorang pendatang tanpa izin oleh pihak imigresen.

Hakim, Hannah Dugan menghadapi dua pertuduhan iaitu menghalang keadilan dan melindungi individu daripada ditahan. 

Beliau hadir di mahkamah namun kemudian dibebaskan sementara menunggu prosiding lanjut.

“Kami percaya Dugan sengaja menghalang ejen persekutuan daripada menahan Eduardo Flores-Ruiz di mahkamahnya, membolehkan individu yang merupakan pendatang haram itu melarikan diri.

“Mujur ejen kami berjaya mengejar suspek dan dia kini berada dalam tahanan, tetapi tindakan Dugan itu meningkatkan risiko kepada keselamatan awam,” kata Pengarah FBI, Kash Patel dalam kenyataan di platform X.

Menurut dokumen pertuduhan, ejen persekutuan berpakaian biasa hadir ke bilik mahkamah Dugan pada 18 April lalu untuk menahan Flores-Ruiz, seorang warga Mexico yang pernah diusir dari AS pada 2013 tetapi kembali secara haram dan ditahan dalam kes keganasan rumah tangga.

Dugan didakwa menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap kehadiran ejen berkenaan, sebelum meninggalkan tempat duduknya dan bersemuka dengan mereka di koridor mahkamah. 

Beliau turut dikatakan mempersoalkan kesahihan waran tangkapan serta mengarahkan ejen berkenaan berbincang dengan ketua hakim.

Beberapa saksi termasuk pembantu kanan mahkamah, pendakwa raya dan pegawai saksi dilaporkan melihat Dugan mengarahkan Flores-Ruiz dan peguamnya supaya keluar melalui pintu juri yang membawa ke kawasan tertutup mahkamah.

Penahanan itu dilihat sebagai langkah tegas pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dalam memantau tindakan hakim-hakim yang dianggap tidak bekerjasama dalam penguatkuasaan undang-undang imigresen persekutuan.

Peguam Negara, Pam Bondi dalam temu bual bersama Fox News berkata, jika seseorang hakim membantu penjenayah melarikan diri ketika mangsa menunggu keadilan di mahkamah, tindakan itu jelas tidak boleh diterima.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN