Ekonomi California atasi Jepun, jadi keempat terbesar dunia

Ekonomi California atasi Jepun, jadi keempat terbesar dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CALIFORNIA: Gabenor Gavin Newsom mengumumkan ekonomi California mengatasi Jepun, sekaligus menjadikan negeri ini sebagai ekonomi keempat terbesar di dunia.

Data daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Biro Analisis Ekonomi Amerika Syarikat (AS) menunjukkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal California mencecah AS$4.1trilion (RM17.94 trilion) mengatasi KDNK nominal Jepun sebanyak AS$4.02 trilion (RM17.59 trilion).

Kedudukan terkini ini meletakkan California di belakang AS dengan AS$29.18 trilion (RM127.68 trilion), China (AS$18.74 trilion/RM80 trilion) dan Jerman (AS$4.65 trilion/RM20.35 trilion).

Dengan populasi hampir 40 juta penduduk, California bukan sekadar pusat industri teknologi dan hiburan AS malah merupakan pengeluar utama sektor perkilangan dan pengeluar pertanian terbesar di negara itu.

Pada tahun 2024, kadar pertumbuhan ekonomi California sebanyak 6 peratus mengatasi kadar pertumbuhan AS (5.3 peratus), China (2.6 peratus) dan Jerman (2.9 peratus).

Pencapaian terkini ini dicatat enam tahun selepas California mengatasi United Kingdom untuk menduduki tempat kelima sebagai ekonomi terbesar dunia.

Bagaimanapun, Newsom memberi amaran agenda pentadbiran Presiden AS Donald Trump membahayakan kepentingan ekonomi negeri itu.

“Walaupun kita meraikan kejayaan ini, kita harus sedar bahawa kemajuan kita diancam oleh dasar tarif tidak bertanggungjawab pentadbiran persekutuan sekarang. Ekonomi California menggerakkan seluruh negara, dan ia perlu dilindungi,” tegasnya.

Minggu lalu, California menjadi negeri pertama yang memfailkan saman terhadap kerajaan persekutuan berhubung dasar tarif Trump, dengan alasan tindakan presiden itu melanggar undang-undang kerana Perlembagaan AS secara jelas memberikan kuasa mengenakan tarif kepada Kongres, bukan presiden.

Menurut pejabat Newsom, California menyumbang AS$83 bilion (RM363.17 bilion) kepada kerajaan Persekutuan berbanding jumlah dana yang diterima.

Sementara itu, negeri ini melaporkan perbelanjaan pelancongan mencapai rekod ter­tinggi pada tahun lalu, walaupun mengalami kemerosotan dalam beberapa aspek. Sebagai contoh, kedatangan pelancong dari Kanada ke California menurun 12 peratus pada Februari berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, kesan daripada perang tarif Trump.

Sebagai tindak balas, California telah melancarkan kempen baharu untuk menarik kembali pelancong Kanada, manakala sebuah bandar di negeri itu memasang papan tanda ‘We Love Canada’ di kawasan tumpuan awam. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya