KHAN YOUNIS: Seorang doktor Palestin berdepan detik menyayat hati apabila mendapati kedua-dua ibu bapanya antara mangsa yang tiba di Kompleks Perubatan Al-Nasser, tempat beliau bertugas, selepas serangan udara Israel menyasarkan sebuah rumah di Khan Younis, lapor agensi berita Anadolu.
Kejadian tragis itu berlaku pada awal pagi semalam, ketika Dr. Ahmed Al-Najjar sedang bersiap sedia menerima mangsa yang cedera.
Namun, beliau kemudian menerima panggilan yang memaklumkan rumah keluarganya telah menjadi sasaran pengeboman.
Dengan cemas, beliau bergegas ke ambulans yang membawa mangsa dan terus menangis apabila melihat mayat kedua ibu bapanya dalam keadaan berlumuran darah.
Tidak mampu menahan kesedihan, doktor itu rebah sambil menangis teresak-esak di sisi jenazah insan tersayang.
Turut terkorban dalam serangan yang sama adalah seorang kanak-kanak perempuan, yang ditemui dalam keadaan menyayat hati dengan kepala terbelah akibat letupan.
Insiden ini menambah lagi penderitaan yang dihadapi rakyat Palestin di Gaza, yang terus menjadi mangsa konflik berpanjangan dan serangan ketenteraan.
Program Makanan Sedunia (WFP) memaklumkan semua bekalan makanannya di Gaza kini kehabisan selepas lebih tujuh minggu Israel menyekat kemasukan bantuan.
Krisis kemanusiaan digambarkan paling buruk sejak lebih 18 bulan perang meletus dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam Israel kerana menggunakan kebuluran sebagai senjata perang.
Ketua Pesuruhjaya Agensi Bantuan dan Kerja PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini menyifatkan penyekatan bantuan sebagai ‘kebuluran bermotifkan politik’.
WFP, satu daripada penyedia utama bantuan makanan di wilayah Palestin berkata, pihaknya semalam sudah menghantar baki bekalan makanan terakhirnya ke dapur makanan di Semenanjung Gaza.
Katanya, dapur itu dijangka kehabisan makanan sepenuhnya dalam tempoh beberapa hari lagi.