BURYSTEDMUNDS: Sebuah buku yang dijilid menggunakan kulit seorang daripada pembunuh paling terkenal di United Kingdom (UK) pada zaman Georgian, William Corder yang dihukum gantung pada tahun 1828 kerana membunuh kekasihnya ditemukan di pejabat muzium.
Corder ditangkap, diadili, dan dihukum mati di khalayak ramai sebelum mayatnya dibedah dan sebahagian kulitnya digunakan untuk menjilid sebuah buku yang menceritakan jenayahnya, dan buku tersebut dipamerkan di Moyse’s Hall Museum sejak 1933.
Namun, baru-baru ini, salinan kedua buku itu yang juga diperbuat daripada kulit Corder ditemukan di rak buku pejabat muzium dan kini dipamerkan bersama buku asal.
Pegawai warisan muzium, Dan Clarke berkata, buku kedua itu mungkin dibuat menggunakan “sisa-sisa kulit” yang tidak digunakan sepenuhnya. Berbeza dengan buku pertama, jilid kedua hanya mempunyai kulit pada bahagian tepi dan sudut.
Clarke memberitahu BBC Radio Suffolk bahawa buku-buku ini mempunyai nilai sejarah yang sangat penting. Namun, penulis Horrible Histories, Terry Deary, menggambarkannya sebagai ‘artifak yang menjijikkan’.
“Ramai penjenayah pada masa itu benar-benar takut dengan nasib ini. Bagi mereka, ini lebih teruk daripada hukuman gantung dengan fikiran bahawa mayat mereka akan dibedah selepas mati,” katanya kepada The Telegraph.
Corder, yang menjalin hubungan sulit dengan Maria Marten, memintanya bertemu di tempat ikonik, Red Barn dengan alasan mereka akan melarikan diri untuk berkahwin.
Sebaliknya, Corder menembak Maria dan menanam mayatnya di kawasan tersebut sebelum ditangkap dan dihukum mati pada 11 Ogos 1828.
Difahamkan, buku kedua itu didermakan berpuluh tahun lalu oleh keluarga yang mempunyai hubungan rapat dengan pakar bedah yang membedah mayat Corder.
Penggunaan kulit manusia untuk menjilid buku dikenali sebagai anthropodermic bibliopegy dan merupakan amalan biasa pada abad ke-19, sama ada sebagai hukuman tambahan untuk pesalah yang dihukum mati atau sebagai cenderamata peribadi bagi doktor.