Bekalan elektrik semakin pulih di Sepanyol, Portugal - Utusan Malaysia

Bekalan elektrik semakin pulih di Sepanyol, Portugal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID: Lampu kembali menyala di Sepanyol dan Portugal lewat malam Isnin selepas gangguan bekalan elektrik besar-besaran melanda Semenanjung Iberia, menyebabkan penumpang kereta api terkandas, ratusan terperangkap dalam lif serta jutaan penduduk kehilangan capaian telefon dan internet.

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez mengumumkan hampir separuh bekalan elektrik negara itu dipulihkan namun, punca sebenar gangguan masih belum dikenal pasti walaupun pelbagai spekulasi mengenai serangan siber tersebar melalui aplikasi pesanan segera.

Kata Sanchez, kira-kira 15 gigawatt tenaga elektrik, lebih separuh penggunaan ketika itu tiba-tiba hilang dalam tempoh lima saat.

Ketua Operasi Sistem Grid Elektrik Sepanyol (REE), Eduardo Prieto, menjelaskan gangguan bekalan elektrik itu melebihi kemampuan sistem Eropah untuk mengendalikannya, menyebabkan grid Sepanyol dan Perancis terputus sambungan, sekali gus membawa kepada kejatuhan keseluruhan sistem elektrik negara ini.

Kesan gangguan itu turut dirasai di barat daya Perancis, manakala di Maghribi, beberapa penyedia internet dan sistem daftar masuk lapangan terbang mengalami gangguan.

Di Madrid dan kawasan lain, orang ramai bergegas mengeluarkan wang tunai dari bank, manakala jalan-jalan dipenuhi penduduk yang cuba mendapatkan isyarat telefon manakala barisan panjang terbentuk untuk mendapatkan teksi dan bas.

Perkhidmatan kereta api terhenti di seluruh negara, dan sehingga lewat malam Isnin, Menteri Pengangkutan Sepanyol melaporkan sebanyak 11 buah kereta api masih mempunyai penumpang yang terkandas.

Loji tenaga nuklear Sepanyol turut dimatikan secara automatik sebagai langkah keselamatan, dengan penjana diesel digunakan bagi mengekalkan keadaan loji dalam keadaan selamat, menurut Majlis Keselamatan Nuklear (CSN).

Suruhanjaya Eropah memaklumkan pihaknya berhubung dengan Sepanyol dan Portugal mengenai krisis itu, sementara Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa, mengesahkan tiada petunjuk ia berpunca daripada serangan siber.

Sementara itu, Operator Rangkaian Tenaga Nasional (REN) Portugal pula memaklumkan keseluruhan Semenanjung Iberia, melibatkan 48 juta penduduk di Sepanyol dan 10.5 juta di Portugal, terjejas akibat gangguan tersebut sehingga turut menyebabkan penerbangan di lapangan terbang Madrid, Barcelona dan Lisbon tergendala, menurut organisasi trafik udara Eropah, Eurocontrol.

Kejadian ini turut mengingatkan dunia kepada beberapa insiden gangguan bekalan elektrik besar yang pernah berlaku pada November 2006 di menyaksikan 10 juta orang di Perancis, Jerman, Belgium, Belanda, Itali dan Sepanyol terputus bekalan selama satu jam akibat kegagalan sistem grid di Jerman. -AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya