GAZA: Analisis bedah siasat terhadap 14 pasukan perubatan Gaza yang maut akibat terkena tembakan bulan lalu menunjukkan mereka memakai pakaian seragam perkhidmatan kecemasan yang mudah dikenali dan kemungkinan besar disasarkan secara sengaja oleh tentera Israel.
Menurut laporan The New York Times, pemeriksaan yang dilakukan oleh Dr. Ahmad Dhair dari Kementerian Kesihatan Gaza dan dikaji semula oleh pakar forensik Norway, Dr. Torleiv Stray-Pedersen, mendedahkan 11 daripada mangsa mengalami luka tembakan dengan kebanyakan ditembak berkali-kali.
Enam orang terkena tembakan di dada atau belakang, manakala empat lagi ditembak di kepala. Seorang anggota medik mengalami kecederaan serpihan yang teruk, dan dua lagi mempunyai luka konsisten dengan letupan.
Beberapa mayat menunjukkan tanda trauma teruk, termasuk anggota badan yang hilang, dan satu mayat terputus di bahagian pelvis.
Selain itu, berdasarkan rakaman audio dan video yang dikaji The New York Times, bunyi tembakan boleh didengar semasa serangan, walaupun tidak jelas sama ada berlaku letupan.
Disebabkan keadaan mayat yang sudah reput, sukar untuk menentukan sama ada pasukan medik itu ditembak dari jarak dekat. Dakwaan awal bahawa tangan seorang medik diikat tidak disahkan dalam laporan akhir autopsi, walaupun seorang jurucakap Palang Merah sebelumnya membuat tuduhan serupa.
Dr. Stray-Pedersen yang dibawa masuk oleh pertubuhan bantuan Norway NORWAC, berkata analisis masih berterusan untuk mengenal pasti sama ada pasukan medik Gaza dibunuh dalam cara yang serupa atau keadaan berbeza.
Tentera Israel pada mulanya mendakwa pasukan medik itu ‘bergerak secara mencurigakan’ tanpa lampu, tetapi dakwaan itu disangkal dengan rakaman video yang menunjukkan kenderaan kecemasan dengan tanda jelas dan lampu berkelip telah berhenti sebelum ditembak.
Israel juga pada awalnya mendakwa 9 daripada mangsa adalah anggota Hamas atau Jihad Islam Palestin, tetapi kemudian mengubah angka itu kepada 6. Mereka menyatakan tidak akan memberi kenyataan lanjut sehingga siasatan selesai.
Kejadian ini berlaku selepas mayat 15 pekerja kecemasan dan bantuan dari Palang Merah Palestin (PRCS), Perkhidmatan Kecemasan Awam, dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ditemukan ditanam dalam satu kubur besar bersama kenderaan mereka di selatan Gaza pada Mac lalu.