WASHINGTON: Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) pada Ahad berkata Washington berhubung dengan India dan Pakistan sambil menggesa kerjasama bagi ‘penyelesaian bertanggungjawab’ ketika ketegangan meningkat antara kedua-dua negara berikutan serangan pemberontak baru-baru ini di Kashmir.
Kerajaan AS secara terbuka menyatakan sokongan kepada India selepas serangan itu tetapi tidak mengkritik Pakistan. India menyalahkan Pakistan atas serangan pada 22 April yang mengorbankan lebih dua dozen orang di Kashmir yang ditadbir India. Pakistan menafikan bertanggungjawab dan menyeru siasatan neutral.
“Ini adalah situasi yang sedang berkembang dan kami memantau perkembangan dengan teliti dan telah berhubung dengan kerajaan India dan Pakistan di pelbagai peringkat. AS menggalakkan semua pihak untuk bekerjasama ke arah penyelesaian yang bertanggungjawab,” kata seorang jurucakap Jabatan Negara AS dalam kenyataan emel kepada Reuters.
Jurucakap Jabatan Negara AS juga menyatakan bahawa Washington berdiri bersama India dan dengan tegas mengutuk serangan pengganas di Pahalgam,” mengulangi kenyataan serupa dengan Presiden Donald Trump dan Naib Presiden JD Vance yang dibuat baru-baru ini.
India kini menjadi rakan penting kepada AS dalam usaha Washington menyaingi pengaruh China yang semakin meningkat di Asia, manakala Pakistan kekal sebagai sekutu AS walaupun kepentingannya kepada Washington semakin berkurang selepas pengunduran tentera AS dari Afghanistan pada 2021.
Penganalisis Asia Selatan yang berpangkalan di Washington dan penulis untuk majalah Foreign Policy, Michael Kugelman berkata India kini adalah rakan AS yang jauh lebih rapat berbanding Pakistan.
“Ini mungkin membimbangkan Islamabad jika India membalas secara ketenteraan, kerana AS mungkin akan bersimpati dengan keperluan memerangi keganasan India dan tidak menghalang tindak balas itu,” kata Kugelman kepada Reuters.
Kugelman turut berkata memandangkan penglibatan Washington dalam usaha diplomatik berkaitan perang Russia di Ukraine dan perang Israel di Gaza, pentadbiran Trump kini sedang menangani pelbagai isu global dan mungkin akan membiarkan India dan Pakistan menyelesaikan sendiri ketegangan tersebut, sekurang-kurangnya pada peringkat awal.
Bekas duta Pakistan ke AS dan felo kanan di Institut Hudson, Hussain Haqqani juga berkata bahawa tiada tanda-tanda AS ingin meredakan situasi pada masa ini.
“India mempunyai rungutan lama mengenai keganasan yang berpunca atau disokong dari seberang sempadan. Pakistan pula percaya sejak sekian lama bahawa India mahu menghancurkan negara itu. Kedua-duanya akan menjadi semakin tegang setiap beberapa tahun. Kali ini tiada minat daripada AS untuk campur tangan,” kata Haqqani.
Kashmir yang majoritinya penduduk Muslim dituntut sepenuhnya oleh India yang majoriti Hindu dan Pakistan yang majoriti Islam, namun masing-masing hanya menguasai sebahagian daripada wilayah itu dan telah beberapa kali berperang mengenainya.