RIYADH: Syarikat minyak gergasi Arab Saudi, Saudi Aramco merekodkan penemuan baharu yang signifikan melibatkan sumber minyak dan gas di Wilayah Timur dan kawasan Empty Quarter, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan negara itu sebagai peneraju tenaga global.
Menteri Tenaga, Putera Abdulaziz bin Salman dalam satu kenyataan memaklumkan penemuan berkenaan meliputi enam medan minyak, dua takungan minyak, dua medan gas asli serta empat takungan gas asli, menggambarkan potensi sumber hidrokarbon Arab Saudi yang terus berkembang pesat.
Di Wilayah Timur, medan minyak Jabu dikenal pasti selepas minyak mentah Arab yang sangat ringan ditemui mengalir pada kadar 800 tong sehari (bpd) dari telaga Jabu-1.
Sementara itu, medan Ayfan menunjukkan hasil memberangsangkan apabila telaga Ayfan-2 menghasilkan 2,840 bpd minyak mentah sangat ringan dan kira-kira 0.44 juta kaki padu standard gas setiap hari (MMscfd).
Eksplorasi lanjut turut mengesahkan kewujudan takungan Jubaila di medan Berri, yang menyaksikan pengeluaran minyak mentah ringan dari telaga Berri-907 pada kadar 520 bpd bersama 0.2 MMscfd gas.
Di samping itu, takungan Unayzah-A di medan Mazalij berjaya mengeluarkan minyak mentah ringan premium dari telaga Mazalij-64 sebanyak 1,011 bpd serta 0.92 MMscfd gas sehari.
Dalam aspek gas asli, penemuan penting turut direkodkan di Wilayah Timur.
Di medan Ghizlan, gas ditemui dalam takungan Unayzah B/C dengan telaga Ghizlan-1 menghasilkan 32 MMscfd gas sehari dan 2,525 tong kondensat manakala telaga Araam-1 di medan Araam menghasilkan 24 MMscfd gas bersama 3,000 tong kondensat sehari.