GROZNY: Anak lelaki kepada pemimpin Chechnya, Ramzan Kadyrov yang berusia 17 tahun, Adam Kadyrov dilantik sebagai Setiausaha Majlis Keselamatan wilayah itu menurut pengumuman rasmi melalui saluran Telegram majlis berkenaan.
Pelantikan ini merupakan jawatan keempat yang disandang remaja tersebut sejak 2023 ketika dia baru berusia 15 tahun.
Sebelum ini, Adam memegang beberapa jawatan penting termasuk bertindak sebagai ketua pengawal peribadi ayahnya, menjadi pemegang amanah Universiti Pasukan Khas Chechnya, serta berkhidmat sebagai pemerhati dalam sebuah batalion tentera baru.
Ramzan Kadyrov, sekutu rapat Presiden Russia Vladimir Putin, telah memerintah wilayah autonomi Chechnya sejak 2007.
Wilayah pergunungan berpenduduk majoriti Muslim ini pernah cuba memisahkan diri daripada Moscow selepas kejatuhan Kesatuan Soviet.
Pakar politik menyatakan bahawa Putin memberikan kebebasan yang luas kepada Kadyrov untuk mentadbir Chechnya sebagai wilayah autonomi sebagai balasan mengekalkan kestabilan di wilayah yang pernah dilanda pemberontakan Islamis anti-Russia selama hampir sepuluh tahun selepas berakhirnya konflik besar-besaran pada awal 2000-an.
Karier politik Adam Kadyrov tidak terlepas daripada kontroversi apabila pada September 2023, sebuah video yang disiarkan oleh Ramzan menunjukkan Adam memukul seorang tahanan yang dituduh menghina al-Quran.
Ramzan kemudian memuji tindakan anaknya itu sebagai bentuk pembelaan terhadap agama Islam. Tahanan tersebut, Nikita Zhuravel, akhirnya dijatuhi hukuman penjara selama tiga setengah tahun.