TOKYO: Seorang wanita muda maut ketika melakukan penstriman langsung (live) di jalan raya di pusat bandar Tokyo selepas ditikam lebih 30 kali oleh rakannya.
Menurut kenyataan pihak berkuasa, suspek dikenali sebagai Kenichi Takano, 42, memberitahu dia menghabiskan semua simpanannya dan membuat pinjaman bank bagi meminjamkan jutaan yen kepada mangsa, Airi Sato, 22, yang mempunyai masalah hutang.
Kejadian tragis itu berlaku pada pagi Selasa lalu di daerah kediaman Shinjuku, iaitu satu daripada kawasan paling sibuk di Tokyo, ketika Sato sedang berjalan bersendirian sebelum diserang secara tiba-tiba oleh Takano.
Mangsa meninggal dunia akibat mengalami kecederaan parah di bahagian leher dan dada.
Polis mendedahkan Takano membeli pisau survival secara dalam talian dua hingga tiga bulan lalu dan membawanya dari kediamannya di Oyama, wilayah Tochigi, ke daerah Takadanobaba di Tokyo.
“Saya tidak dapat menerima hakikat bahawa dia menjana pendapatan melalui penstriman langsung sedangkan dia masih berhutang dengan saya,” kata Takano kepada polis ketika disoal siasat.
Difahamkan, Takano mengenali Sato menerusi media sosial wanita itu sejak Februari 2021 dan menjelang Ogos 2022, dia mula mengunjungi restoran tempat Sato bekerja sebelum meminjamkan wang selepas mangsa mendakwa mengalami kesempitan hidup.
Rekod mahkamah menunjukkan Takano telah memfailkan saman terhadap Sato pada 2023 kerana gagal membayar balik pinjaman sebanyak 2.54 juta yen (RM79,000) dalam 10 transaksi antara September hingga November 2022 sebelum mangsa diarahkan untuk membayar balik 2.5 juta yen (RM78,000) kepada Takano.
Pada Januari 2024, Takano membuat aduan kepada polis di wilayah Tochigi selepas mendakwa Sato menghilangkan diri sejurus keputusan mahkamah dikeluarkan.