COPENHAGEN: Perkhidmatan pos Denmark akan menghentikan perkhidmatan menghantar surat selepas bilangan yang menggunakannya merudum lebih 90 peratus.
Syarikat PostNord Denmark berkata, pihaknya akan mengepos surat terakhirnya pada akhir tahun ini sebelum mula menumpukan perhatian kepada penghantaran bungkusan sebagai tindak balas kepada perubahan bentuk komunikasi serta peningkatan pendigitalan dalam masyarakat.
Keputusan ini turut menyaksikan 1,500 peluang pekerjaan dimansuhkan dan 1,500 peti surat merah dialih keluar di seluruh negara.
Syarikat itu, yang ditubuhkan pada 2009 dalam penggabungan perkhidmatan bersama negara jiran, bagaimanapun mengesahkan pengedaran surat di Sweden tidak akan terjejas.
“PostNord Denmark akan menghantar surat terakhirnya pada 30 Disember ini. Kami bertanggungjawab menghantar surat di negara ini sejak 1624, tetapi bermula pada tahun 2000, jumlah surat yang diterima menurun lebih 90 peratus.
“Dengan peningkatan pendigitalan, bilangan surat di Denmark semakin berkurangan dengan cepat. Oleh itu PostNord di Denmark akan berhenti menghantar surat pada 2026 untuk memberi tumpuan kepada usaha menjadi pembekal pakej pilihan rakyat,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif PostNord Denmark, Kim Pedersen berkata, langkah ini adalah keputusan sukar tetapi perlu diambil untuk menjadikan syarikat lebih mampan di masa hadapan.
“Kami telah menjadi perkhidmatan pos Denmark selama 400 tahun, dan keputusan untuk menghentikan perkhidmatan yang sudah menjadi sebahagian besar dalam sejarah kami jelas bukan sesuatu yang mudah
“Bagi mencipta perniagaan yang mampan, kami perlu menyesuaikan diri dan malangnya kami terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada beberapa rakan sekerja kami,” katanya.