SYDNEY: James Harrison, seorang daripada penyumbang darah terbanyak di dunia yang plasmanya menyelamatkan lebih dua juta bayi, meninggal dunia dalam tidur di sebuah rumah jagaan berhampiran New South Wales, Australia pada 17 Februari lalu.
Harrison, 88 tahun, dikenali di Australia sebagai ‘Lelaki Berlengan Emas’, mempunyai antibodi jarang dikenali sebagai Anti-D dalam darahnya digunakan untuk menghasilkan ubat kepada ibu hamil yang berisiko sistem darah mereka menyerang janin dalam kandungan.
Perkhidmatan Derma Darah Palang Merah Australia (Lifeblood) dalam kenyataan penghormatan kepada Harrison memaklumkan, beliau berikrar untuk menjadi penderma selepas menerima pemindahan darah ketika menjalani pembedahan besar di bahagian dada pada usia 14 tahun.
Harrison mula menderma plasma darahnya ketika berusia 18 tahun dan berterusan melakukannya setiap dua minggu sehingga berumur 81 tahun dan pada tahun 2005, beliau memegang rekod dunia sebagai penyumbang plasma darah terbanyak, sebelum diambil alih oleh seorang lelaki dari Amerika Syarikat (AS) pada 2022.
Anak perempuannya, Tracey Mellowship berkata, bapanya sangat berbangga kerana dapat menyelamatkan begitu banyak nyawa tanpa meminta sebarang balasan.
“Beliau selalu berkata, ia tidak menyakitkan dan nyawa yang anda selamatkan mungkin nyawa anda sendiri,” katanya.
Suntikan Anti-D melindungi bayi dalam kandungan daripada penyakit darah berbahaya yang dikenali sebagai penyakit hemolitik janin dan bayi baru lahir (HDFN).
Keadaan ini berlaku apabila sel darah merah ibu tidak serasi dengan bayi dalam kandungan, menyebabkan sistem imun ibu menganggap sel darah bayi sebagai ancaman dan menghasilkan antibodi untuk menyerangnya sekaligus membahayakannya, menyebabkan anemia teruk, kegagalan jantung atau kematian.
Terdapat kurang daripada 200 penderma Anti-D di Australia, tetapi mereka membantu kira-kira 45,000 ibu dan bayi setiap tahun, menurut Lifeblood.