SEOUL: Satu siasatan mendapati kerajaan Korea Selatan melakukan pelbagai pelanggaran hak asasi manusia selama beberapa dekad melalui program kontroversi yang menghantar sekurang-kurangnya 170,000 kanak-kanak dan bayi ke luar negara untuk dijadikan anak angkat.
Laporan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Kebenaran dan Rekonsiliasi pada Rabu mendakwa kerajaan gagal mengawal selia program tersebut, sekali gus membolehkan eksport besar-besaran kanak-kanak oleh agensi swasta yang berorientasikan keuntungan.
Siasatan itu juga turut mendedahkan berlakunya penipuan, pemalsuan dokumen serta pemaksaan dalam proses pengangkatan, yang dilakukan tanpa pemantauan ketat kerajaan.
Sejak tahun 1950-an, Korea Selatan menjadi negara yang paling banyak menghantar kanak-kanak ke luar negara untuk program anak angkat, kebanyakannya ke negara Barat.
“Ini adalah satu sejarah hitam bagi negara kita. Walaupun ada yang bernasib baik mendapat keluarga angkat yang penyayang, ramai juga yang tidak bernasib baik,” kata Pengerusi Suruhanjaya, Park Sun-young dalam satu sidang akhbar.
Siasatan yang bermula pada 2022 itu menerima 367 petisyen daripada mereka yang dihantar ke luar negara antara tahun 1964 hingga 1999, dengan 100 kes dianalisis dan daripada jumlah itu, seramai 56 anak angkat diiktiraf sebagai mangsa pelanggaran hak asasi manusia, manakala selebihnya masih dalam siasatan yang dijangka tamat pada Mei ini.
Laporan tersebut menyatakan selepas Perang Korea, negara itu merupakan antara negara termiskin di dunia dan program anak angkat tidak mendapat sambutan dalam kalangan keluarga tempatan dan bagi mengatasi masalah tersebut, kerajaan memperkenalkan program itu di peringkat antarabangsa dan dikendalikan oleh agensi swasta yang diberikan kuasa luas melalui undang-undang khas.
Menurut laporan itu, kegagalan dalam pengurusan dan pemantauan menyebabkan agensi-agensi tersebut mengambil kesempatan.