ARIZONA: Memasang cip dalam otak bagi menterjemah pemikiran kepada arahan komputer mungkin kedengaran seperti sains fiksyen, namun ia menjadi realiti buat Noland Arbaugh.
Lapan tahun selepas lumpuh akibat kemalangan menyelam, lelaki berusia 30 tahun itu menjadi individu pertama menerima implan cip daripada syarikat teknologi saraf Amerika Syarikat (AS), Neuralink, pada Januari tahun lalu.
Walaupun bukan cip pertama seumpamanya, perhatian dunia tertumpu kepada Neuralink kerana pemiliknya, Elon Musk namun, bagi Noland, perkara lebih penting bukan dirinya atau jutawan tersebut, tetapi sains di sebalik teknologi itu.
“Saya sedar akan risikonya, tetapi sama ada baik atau buruk, saya tahu saya membantu dalam perkembangan teknologi ini,” katanya kepada BBC.
Dia yang berasal dari Arizona lumpuh dari bahu ke bawah selepas insiden menyelam pada 2016 dan keadaan itu menyebabkannya bimbang tidak lagi mampu belajar, bekerja, atau bermain permainan video namun, dengan cip Neuralink, beliau kini boleh mengawal komputer hanya dengan fikiran.
Cip tersebut berfungsi sebagai antara muka komputer-otak (BCI) yang mengesan impuls elektrik kecil dalam otak ketika seseorang berfikir tentang pergerakan dan menterjemahkannya kepada arahan digital, seperti menggerakkan kursor di skrin.
Teknologi ini bukan perkara baharu dan telah lama dikaji oleh saintis namun, penglibatan Musk menjadikan ia lebih mendapat perhatian, selain turut mencetuskan perdebatan mengenai keselamatan prosedur invasif ini.
Ketika pembedahan Noland diumumkan, para pakar menyifatkannya sebagai satu ‘pencapaian penting’, tetapi mengingatkan kajian lanjut diperlukan.
Selepas menjalani pembedahan, Noland mula dapat mengawal kursor dengan hanya memikirkan pergerakan jari dan kini, kebolehannya semakin meningkat sehingga dia boleh bermain catur dan permainan video semula.
Walaupun menunjukkan potensi besar, terdapat kebimbangan mengenai privasi data otak yang boleh diakses oleh syarikat teknologi namun, bagi Noland, tumpuannya adalah melihat sejauh mana cip ini boleh membantu kehidupannya, termasuk mengawal kerusi roda.
“Kita masih tahu terlalu sedikit tentang otak, tetapi teknologi ini membantu kita belajar lebih banyak,” katanya. – AGENSI