NAYPYIDAW: Serangan udara junta Myanmar terhadap klinik perubatan di sebuah kampung terpencil mengorbankan 11 nyawa, termasuk seorang doktor dan isterinya.
Penduduk tempatan berkata, serangan udara pada 22 Mac itu memusnahkan kampung Hnan Khar di wilayah Magway, yang kini berada di bawah kawalan pasukan anti rampasan kuasa.
“Ia terbang sangat rendah dan saya terdengar letupan bom kuat ketika kami sedang bersembunyi.
“Sewaktu saya pergi untuk meninjau kawasan, saya hanya melihat cebisan tubuh manusia. Ia adalah pemandangan mengerikan dan imej itu masih menghantui saya,” kata seorang penduduk.
Penduduk turut mendakwa tentera semakin kerap melancarkan serangan udara beberapa bulan kebelakangan ini menyebabkan mereka berada dalam ketakutan.
Rampasan kuasa tentera pada 2021 mencetuskan konflik berpanjangan di Myanmar, dengan pertempuran sengit antara junta, gerila anti rampasan kuasa dan kumpulan bersenjata etnik yang terus terperangkap dalam kebuntuan konflik berdarah di negara Asia Tenggara itu.
Walaupun kehilangan banyak wilayah, tentera Myanmar masih bergantung kepada keupayaan udara mereka, yang disokong oleh bantuan teknikal Russia untuk mengekalkan kelebihan dalam konflik tersebut.
Menurut organisasi bukan berasaskan keuntungan, Lokasi Konflik Bersenjata dan Data Peristiwa (Acled), jumlah serangan udara tentera terhadap orang awam meningkat setiap tahun sepanjang perang saudara, dengan hampir 800 serangan direkodkan pada 2024.
Angka itu lebih tiga kali ganda berbanding tahun sebelumnya, dan Acled meramalkan junta akan terus bergantung kepada serangan udara kerana mereka berada di bawah tekanan ketenteraan yang semakin meningkat di darat.- AFP










