WASHINGTON: Presiden Donald Trump dijangka menghentikan penglibatan Amerika Syarikat (AS) dengan Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta meneruskan pembekuan dana untuk Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA), dakwa pegawai Rumah Putih semalam.
Langkah itu bertepatan dengan lawatan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ke Washington, yang sekian lama mengkritik UNRWA dengan menuduh agensi tersebut menghasut anti-Israel dan kakitangannya terlibat dalam aktiviti keganasan.
Penggal pertamanya dari 2017 hingga 2021, Trump pernah mengambil tindakan sama dengan memotong dana kepada UNRWA, mendakwa agensi itu tidak lagi relevan, selain menuntut rakyat Palestin kembali ke meja rundingan dengan Israel dan menyeru pembaharuan terhadap organisasi tersebut.
Ketika itu, AS turut menarik diri daripada majlis hak asasi manusia PBB di Geneva sebelum tamat tempoh keahlian, dengan alasan badan itu bersikap berat sebelah terhadap Israel serta gagal menjalankan reformasi.
Bagaimanapun, AS kembali menjadi anggota majlis tersebut bagi penggal 2022-2024 di bawah kepimpinan bekas Presiden Joe Biden.
Sejak mengangkat sumpah untuk penggal kedua pada 20 Januari lalu, Trump mengambil beberapa langkah drastik termasuk menarik AS keluar daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Perjanjian Iklim Paris, keputusan yang pernah dibuatnya sebelum ini.
Pesuruhjaya Agung UNRWA, Philippe Lazzarini menegaskan, agensi itu menjadi sasaran ‘kempen maklumat palsu’ bagi menggambarkannya sebagai sebuah organisasi pengganas.
AS sebelum ini merupakan penyumbang terbesar kepada UNRWA, menyalurkan antara AS$300 juta (RM1.3 bilion) hingga AS$400 juta (RM1.7 bilion)setahun, namun pentadbiran Biden menggantung dana pada Januari 2024 selepas Israel mendakwa terdapat kakitangan UNRWA terlibat dalam serangan ke atas Israel oleh Hamas pada 7 Oktober 2023, yang mencetuskan perang di Gaza.
Kongres AS kemudian meluluskan keputusan untuk menghentikan sepenuhnya pembiayaan kepada UNRWA, sehingga sekurang-kurangnya Mac 2025.
UNRWA menyediakan bantuan, perkhidmatan kesihatan dan pendidikan kepada jutaan pelarian Palestin di Gaza, Tebing Barat termasuk Baitulmuqaddis Timur, Syria, Lubnan dan Jordan.
Israel menguatkuasakan larangan ke atas UNRWA berkuat kuasa 30 Januari lalu, yang menghalang agensi itu daripada beroperasi atau berhubung dengan pihak berkuasa Israel dan UNRWA memberi amaran larangan tersebut akan turut menjejaskan operasinya di Gaza dan Tebing Barat. -AGENSI










