WASHINGTON: Jutawan terkenal, Elon Musk bersama pentadbiran Presiden Donald Trump menerusi Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) membatalkan hampir AS$1 bilion (RM4.76 bilion) kontrak Jabatan Pendidikan Amerika Syarikat (AS).
Pembatalan itu turut melibatkan sebuah pejabat penyelidikan yang memantau kemajuan pelajar di negara itu.
Selepas mengumumkan pemotongan AS$101 juta (RM480 juta) daripada 29 geran latihan Diversity, Equity, and Inclusion (DEI) Isnin lalu, akaun rasmi DOGE di X memaklumkan, pasukan Musk membatalkan 89 kontrak bernilai AS$881 juta (RM4.19 bilion) semalam.
Pemotongan bajet besar-besaran itu secara efektif menutup Institut Sains Pendidikan (IES), sebuah agensi penyelidikan dan statistik utama Jabatan Pendidikan AS yang menjadi penyumbang terbesar kepada penyelidikan pendidikan di negara itu.
IES mengumpul dan menyebarkan data serta kajian berkaitan pencapaian pelajar, keselamatan sekolah serta pencapaian dalam kursus sains peringkat menengah.
Kajian tersebut digunakan secara meluas oleh pendidik, jabatan pendidikan negeri dan tempatan, sekolah, kolej serta penyelidik lain.
Menurut laporan National Public Radio (NPR), terdapat program yang dihentikan akibat penarikan balik kontrak-kontrak tersebut.
Kajian yang dilaksanakan di beberapa negeri itu membekalkan pelajar dengan alat digital adaptif berkualiti tinggi untuk membantu meningkatkan prestasi dalam mata pelajaran matematik.
Bagaimanapun, kajian tersebut kini terpaksa dihentikan serta-merta dan alat bantu itu berkemungkinan besar akan ditarik keluar daripada bilik darjah dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, beberapa program IES terselamat daripada pemotongan termasuk college scorecard era Obama yang membantu pelajar membandingkan institusi pengajian tinggi, National Assessment of Education Progress, serta Nation’s Report Card yang mengukur prestasi akademik pelajar di seluruh negara dalam pelbagai subjek seperti matematik, sains, bacaan dan penulisan.
Retorik dan tindakan Musk ini selaras dengan janji lama Trump untuk membubarkan jabatan tersebut, satu langkah yang memerlukan kelulusan Kongres.
Presiden AS itu dilaporkan sedang memuktamadkan satu perintah eksekutif untuk melaksanakan rancangan tersebut, namun masih belum jelas apa kandungan sebenar perintah itu dan sama ada ia boleh dikuatkuasakan secara sah. – AGENSI










