Bangunan kementerian di Jakarta terbakar

Bangunan kementerian di Jakarta terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Kebakaran melanda bangunan Kementerian Agraria dan Tata Ruang/Badan Pertanahan Nasional (ATR/BPN) di Jalan Sisingamangaraja, Kebayoran Baru, Jakarta Selatan, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.09 malam waktu tempatan, sebanyak 20 jentera bomba bersama 80 anggota dikerahkan ke lokasi berkenaan untuk memadamkan kebakaran yang dipercayai berpunca daripada litar pintas pada sistem penghawa dingin.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jakarta, Satriadi, berkata kebakaran tersebut tidak menyebabkan sebarang kehilangan nyawa.

“Kebakaran dipercayai bermula di ruang perhubungan awam di tingkat bawah. Pihak keselamatan bangunan yang menyedari kejadian itu segera cuba memadamkan api menggunakan alat pemadam api ringan (APAR), namun api cepat marak,” katanya.

Menurut beliau, api merebak dengan cepat kerana membakar timbunan kertas dan dokumen di atas meja, sekali gus menghasilkan asap tebal yang menyukarkan proses pemadaman awal.

“Pihak keselamatan kemudian segera menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan. Api berjaya dikawal pada pukul 11.55 malam dan operasi pemadaman selesai sepenuhnya pada pukul 12.05 tengah malam,” katanya lagi.

Tambah beliau, kebakaran tersebut telah memusnahkan kawasan seluas 8 x 6 meter persegi di tingkat satu bangunan berkenaan.

Sementara itu, Menteri Agraria dan Tata Ruang/Badan Pertanahan Nasional, Nusron Wahid, turut hadir di lokasi kejadian sekitar pukul 11.40 malam.

“Saya mendapat makluman semasa dalam perjalanan di lebuh raya, jadi saya terus ke sini. Sampai saja di lokasi, api memang sudah besar,” katanya kepada media.

Beberapa dokumen dilaporkan musnah dalam kebakaran tersebut bagaimanapun, Nusron belum dapat mengesahkan sama ada dokumen penting turut terjejas.

Kejadian ini menimbulkan kebimbangan berhubung keselamatan dokumen rasmi kementerian, namun siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kebakaran serta tahap kerosakan yang dialami. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN