160,000 rakyat Jerman bantah kerjasama parti berhaluan kanan

160,000 rakyat Jerman bantah kerjasama parti berhaluan kanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERLIN: Sekurang-kurangnya 160,000 penunjuk perasaan berhimpun di ibu negara Jerman, bagi membantah langkah parti konservatif, Kesatuan Demokratik Kristian (CDU) yang didakwa bersekongkol dengan parti sayap kanan, Alternatif untuk Jerman (AfD).

Penganjur mendakwa, jumlah peserta mencecah 200,000 orang, yang turun ke jalanan bagi mengecam tindakan CDU yang melanggar prinsip politik tidak rasmi negara itu sejak Perang Dunia Kedua, iaitu tidak bekerjasama dengan parti sayap kanan di peringkat nasional.

Protes yang bermula di hadapan bangunan Parlimen Jerman, Bundestag menyaksikan ribuan peserta melaungkan slogan seperti ‘Malu pada kamu, CDU!’ sebelum berarak menuju ke ibu pejabat parti berkenaan.

Tindakan CDU mendapatkan sokongan AfD di Parlimen minggu lalu, mencetuskan kemarahan besar di Jerman, hanya beberapa minggu menjelang pilihan raya Persekutuan pada 23 Februari ini.

Langkah itu dilihat sebagai pelanggaran ke atas dasar politik yang diwujudkan selepas era Nazi bagi menghalang sebarang kerjasama dengan parti ekstrem berhaluan kanan.

Rabu lalu, CDU dan AfD berjaya meluluskan satu usul tidak mengikat yang bertujuan menghalang kemasukan warga asing tanpa dokumen di sempadan, termasuk pemohon suaka.

Bagaimanapun, pada Jumaat, mereka gagal mendapatkan kelulusan terhadap rang undang-undang yang lebih ketat berhubung imigresen.

Tindakan CDU memperketatkan dasar imigresen dibuat selepas seorang lelaki warga Afghanistan ditangkap kerana menikam sekumpulan kanak-kanak prasekolah dalam serangan yang menggemparkan negara itu.

Kumpulan hak asasi manusia, Campact, yang turut menganjurkan demonstrasi di Berlin, mendakwa Merz cuba memusnahkan norma politik dengan memanfaatkan hubungan dengan ekstremis kanan demi kepentingan parti.

Sehari sebelumnya, lebih 220,000 orang telah turun ke jalanan di bandar-bandar besar lain termasuk Hamburg, Leipzig, Cologne dan Stuttgart bagi membantah sebarang bentuk kerjasama antara CDU dan AfD.

Bantahan besar-besaran itu turut disertai oleh kesatuan pekerja, badan masyarakat sivil, kumpulan hak asasi manusia, gereja, serta aktivis alam sekitar.

Canselor Jerman, Olaf Scholz dari parti tengah-kiri, memberi amaran CDU dan AfD mungkin akan bekerjasama membentuk kerajaan, sebagaimana yang telah berlaku di beberapa negara lain.– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN