NEW DELHI: Mayat seorang wartawan India, Mukesh Chandrakar, 32, yang pernah melaporkan isu rasuah di negaranya, ditemui dalam sebuah tangki septik di kawasan Chhattisgarh pada Jumaat lalu.
Mangsa dilaporkan hilang pada hari Tahun Baharu, dan keluarganya membuat laporan polis selepas gagal menghubunginya dan mayatnya dijumpai di kawasan sebuah kontraktor pembinaan jalan di daerah Bijapur setelah pihak berkuasa menjejak lokasi telefon bimbitnya.
Menurut polis, tiga individu telah ditahan berkaitan kes ini, termasuk dua yang dipercayai mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mangsa.
Salah seorang suspek utama, Suresh Chandrakar, pemilik kawasan tersebut yang juga merupakan saudara mangsa, kini dalam buruan.
Ketua polis daerah Bijapur menyatakan mayat Mukesh ditemui dalam tangki septik yang baru ditutup dengan papak konkrit berhampiran gelanggang badminton kawasan itu.
“Hasil pemeriksaan pada 3 Januari mendedahkan mayat Mukesh yang menunjukkan kecederaan parah akibat serangan objek tumpul,” katanya.
Mangsa, seorang wartawan bebas, terkenal dengan laporan mengenai dakwaan rasuah dalam projek pembinaan awam dan mengendalikan saluran YouTube popular, ‘Bastar Junction’.
Berikutan insiden itu, Majlis Akhbar India menggesa laporan penuh daripada kerajaan negeri manakala Ketua Menteri Chhattisgarh, pula menyifatkan kematian Mukesh sebagai ‘amat memilukan’ dan telah mengarahkan pasukan siasatan khas untuk menyiasat kes tersebut.
Wartawan tempatan mengadakan protes menuntut tindakan tegas terhadap pelaku yang terlibat, menekankan serangan terhadap wartawan yang melaporkan isu rasuah atau kerosakan alam sekitar semakin membimbangkan di India.
Laporan media India turut mendedahkan salah seorang suspek yang ditahan adalah sepupu kepada mangsa.
Menurut badan pemantau media, Reporters Without Borders, purata tiga hingga empat wartawan terbunuh setiap tahun di India akibat tugas mereka, menjadikan negara itu antara yang paling berbahaya untuk pengamal media. -AGENSI










