TASHKENT: Seorang penjaga zoo Uzbekistan maut secara tragis selepas masuk ke dalam kandang singa di zoo persendirian untuk merakamkan dirinya membelai haiwan buas itu gara-gara mahu menunjukkan kehebatan kepada kekasihnya.
Pada 17 Disember lalu, F. Iriskulov yang berusia 44 tahun sedang bekerja syif malam di zoo persendirian di Parkent, Uzbekistan.
Lelaki itu kemudian memutuskan mahu menarik perhatian kekasihnya dengan merakamkan dirinya masuk ke dalam kandang untuk membelai tiga ekor singa Afrika yang sudah dewasa.
Klip pendek yang diambil dari telefon lelaki itu menunjukkan dia membuka kunci kandang singa tersebut dan berjalan secara santai sambil bercakap dan memanggil nama haiwan itu.
Singa-singa itu sedang berbaring di atas palet kayu kemudian dilihat mendekati penjaga zoo yang terus membuat penggambaran, seolah-olah tidak menyedari bahaya yang dihadapinya.
Iriskulov merakam klip video itu untuk dihantar kepada teman wanitanya dengan memaparkan dirinya dikelilingi oleh beberapa ekor singa.
Namun, salah seekor singa itu menyerang Iriskulov dan rakaman itu bertukar gelap dengan suara jeritannya jelas kedengaran.
Mayat F. Iriskulov yang sebahagiannya dibaham ditemui empat jam selepas kejadian tragis itu dan menurut media Russia, haiwan berkenaan mengoyakkan wajah mangsa.
Pihak zoo mengesahkan seekor daripada singa itu terpaksa ditembak dan dua lagi ditenangkan selepas melarikan diri dari kandang yang dibiarkan tidak berkunci oleh mangsa.
Lelaki berusia 44 tahun itu dilaporkan seorang pengendali singa yang berpengalaman, tetapi media Uzbekistan melaporkan dia mendapat idea untuk merakamkan dirinya memasuki kandang singa sebagai cara untuk menarik perhatian teman wanitanya.
Menariknya, atas sebab tertentu, polis wilayah melaporkan kejadian itu dengan cara berbeza, menunjukkan bahawa singa telah melarikan diri dari kandang dan menyerang penjaga zoo di halaman, walaupun video tular di laman X jelas menunjukkan keadaan sebenar.-AGENSI










