UNRWA henti hantar bantuan kemanusiaan ke Gaza 

UNRWA henti hantar bantuan kemanusiaan ke Gaza 

TRAK Israel yang mengangkut bantuan untuk Semenanjung Gaza tiba di kawasan pengumpulan berhampiran lintasan Kerem Shalom.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) terpaksa menghentikan penghantaran bantuan melalui lintasan utama Kerem Shalom antara Israel dan Gaza atas faktor keselamatan.

Menurut Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini, laluan keluar dari lintasan itu semakin tidak selamat sejak beberapa bulan lalu.

“Pada 16 November, konvoi besar trak bantuan telah dirampas oleh kumpulan bersenjata. Semalam, kami cuba membawa beberapa trak makanan melalui laluan sama, tetapi kesemuanya dirampas,” katanya menerusi hantaran di laman X.

Beliau memberi amaran kebuluran di Gaza semakin meruncing namun operasi kemanusiaan berdepan misi yang amat sukar dan mustahil.

PBB sebelum ini memaklumkan Gaza berada dalam keadaan anarki dengan kelaparan semakin memuncak, rompakan berleluasa dan peningkatan kes rogol di tempat perlindungan akibat keruntuhan ketenteraman awam.

Israel, yang mengenakan sekatan sepenuhnya ke atas wilayah itu selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, mendakwa organisasi bantuan tidak mampu mengagihkan bantuan dalam jumlah besar.

“Hanya tujuh peratus daripada bantuan yang masuk ke Gaza pada November diselaraskan oleh UNRWA,” kata Agensi Penyelarasan Aktiviti Wilayah (COGAT).

COGAT menambah terdapat banyak organisasi kemanusiaan lain yang terus memainkan peranan penting dalam penghantaran bantuan di Gaza.

Dalam lawatan media baru-baru ini, tentera Israel menunjukkan penghantaran bantuan di lintasan tersebut yang didakwa tertangguh berbulan-bulan di sebelah Gaza.

Lazzarini turut menggesa Israel menghentikan serangan terhadap pekerja kemanusiaan, merujuk kepada serangan udara Sabtu lalu yang mengorbankan tiga kontraktor badan amal World Central Kitchen. 

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 44,429 penduduk Palestin, majoritinya orang awam, terkorban akibat kempen ketenteraan Israel. –AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×