Sepanyol lancar operasi pemulihan bencana terbesar

Sepanyol lancar operasi pemulihan bencana terbesar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VALENCIA: Banjir kilat terburuk dalam sejarah moden Sepanyol kini telah mengorbankan sekurang-kurangnya 214 orang sementara berpuluh-puluh lagi masih tidak dapat dikesan.

Angka kematian dijangka terus meningkat empat hari selepas hujan lebat melanda wilayah timur Valencia.

Perdana Menteri, Pedro Sanchez dalam satu kenyataan di televisyen berkata, kerajaan menghantar 5,000 lagi tentera untuk membantu pencarian dan pembersihan selain 2,500 askar yang sudah dikerah.

“Ia adalah operasi terbesar oleh Angkatan Tentera Sepanyol pada masa aman. Kerajaan akan menggerakkan semua sumber selagi ia diperlukan,” kata Sanchez.

Pihak berkuasa wilayah Valencia berkata, pada malam Sabtu, jumlah kematian di wilayah itu ialah 211, ditambah dua dari Castilla La Mancha dan satu di Andalusia.

Tragedi itu sudah menjadi bencana berkaitan banjir terburuk di Eropah sejak 1967 yang mengorbankan lebih 500 nyawa di Portugal.

Harapan untuk mencari mangsa terselamat masih cerah apabila anggota penyelamat menemui seorang wanita yang masih hidup selepas tiga hari terperangkap di tempat letak kereta di Montcada, Valencia.

Penduduk bertepuk tangan dan bersorak gembira apabila Ketua Perlindungan Awam, Martin Perez mengumumkan berita itu.

Sukarelawan berpusu-pusu ke pusat Kota Seni dan Sains Valencia untuk membantu usaha pembersihan terkoordinasi pertama yang dianjurkan oleh pihak berkuasa wilayah.

Di pinggir bandar Picanya Valencia, pemilik kedai Emilia, 74, memberitahu, terdapat ramai penduduk yang memerlukan bantuan.

“Kami membuang perabot, kami membuang segala-galanya.

“Bilakah bantuan akan datang untuk memberi kami peti ais dan mesin basuh? Kerana kami tidak boleh mencuci pakaian dan kami tidak boleh mandi pun,” katanya.

Jururawat, Maria Jose Gilabert, 52, yang juga tinggal di Picanya berkata, kawasan itu mungkin memerlukan masa lebih lama sebelum boleh kembali didiami semula.

Ribut itu mencetuskan amaran cuaca baharu di Kepulauan Balearic, Catalonia dan Valencia, di mana hujan dijangka berterusan pada hujung minggu.

Para saintis berkata, kejadian cuaca ekstrem menjadi lebih kerap di Eropah dan di beberapa benua lain disebabkan oleh perubahan iklim.

Ahli meteorologi berpendapat, pemanasan Mediterranean yang meningkatkan penyejatan air memainkan peranan penting dalam menjadikan kesan hujan lebat lebih teruk.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN