WASHINGTON: Seorang warga Amerika Syarikat (AS) dari Dearborn, Michigan, terbunuh di dalam serangan udara Israel di Lubnan.
Pejabat Perwakilan Demokrat AS, Rashida Tlaib berkata, semalam, beliau berhubung dengan keluarga mangsa, Kamel Ahmad Jawad dan mengesahkan lelaki tu adalah warga AS.
Anak perempuannya, Nadine Jawad berkata, bapanya terbunuh dalam serangan Israel di Lubnan pada Selasa semasa cuba menyelamatkan nyawa penduduk dan orang awam.
Kata Nadine, bapanya memilih tinggal berhampiran hospital untuk membantu warga emas dan orang kurang upaya sebelum dilaporkan meninggal dunia.
“Kami amat berdukacita dengan kematian Kamel Ahmad Jawad dan kami menzahirkan rasa simpati kepada keluarga dan rakan-rakannya.
“Kematiannya adalah satu tragedi, begitu juga dengan kematian ramai orang awam di Lubnan,” kata jurucakap White House dalam satu kenyataan.
Menurut Detroit News, Jawad berada di Lubnan untuk menjaga ibunya yang sudah tua.
Rakannya Hamzah Raza dan kumpulan Dearborn memuat naik berita kematian Jawad di media sosial, menggelarnya salah seorang insan yang baik dan pemurah.
Washington berdepan kritikan kerana menyokong sekutunya Israel, yang juga melancarkan perang di Gaza di mana berpuluh-puluh ribu terbunuh dan hampir 2.3 juta penduduk di kawasan itu kehilangan tempat tinggal.-REUTERS










